BEBERAPA posting di media sosial yang menggunakan ayat 'keramat' Da'i Farhan sebagai bahan jenaka, mahupun mempromosikan produk mereka. FOTO Media sosial
Suraya Roslan


MEDIA sosial baru-baru ini dibanjiri ayat 'keramat' Juara Da'i musim kedua, Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad hingga menjadi topik perbualan hangat netizen di media sosial.

Nik Ahmad Farhan atau lebih dikenali sebagai Farhan dipetik sebuah portal sebelum ini menjadi perhatian ramai apabila mengakui terpaksa menolak lamaran 18 wanita namun tidak dapat menolak lamaran ke-19.

"Jujur saya kata sudah 18 orang wanita meminta untuk jadi isteri kedua sepanjang tempoh beberapa tahun perkahwinan saya dengan Fatin (isteri pertama). Namun, semuanya saya tolak dengan mudah. Namun wanita yang ke-19 ini membuatkan saya tiada kekuatan untuk menolak.

"MasyaAllah...auranya membuatkan saya terkenang kisah penyatuan cinta antara Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah," katanya dipetik dalam temubual itu.

Ayat keramat '18' dan '19' itu menjadi bahan jenaka sehingga agensi kerajaan dan selebriti turut menggunakannya di laman sosial mereka.

Antara yang mencuit hati adalah selebriti, Aeril Zafrel yang baru menimang cahaya mata ketiga turut menggunakan ayat keramat itu.

"18 kali permintaan saya nak baby Wawa tolak. Kali yg ke-19 ni, Wawa tak da kekuatan nak tolak... dia punya aura tu Masyallah," tulisnya.

Selain itu, syarikat penerbangan terkenal AirAsia turut mengambil 'kesempatan' dengan mempromosikan tambang murah mereka menggunakan ayat keramat itu.

"Dah 18 kali orang minta kami buat sale, tapi kali ke-19 ni kami tak ada kekuatan nak tolak. Memang aura dia....," tulisnya.

Lebih mencuit hati, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cawangan Putrajaya menerusi Twitter mereka turut menggunakan ayat keramat itu bagi memberi ilmu kepada orang awam.

"Dah 18 kali orang minta kami buat pasal telur bukan punca luka bernanah, tapi kali ke-19 kami tak boleh tolak..," tulisnya.

Selain itu, produk kecantikan Himalaya Healthcare Malaysia menerusi Facebook turut menggunakan kaedah promosi yang sama.

"Dah 18 kali orang cakap Himalaya Neem Face Wash ni best tapi saya tak percaya, kali ke-19 ni saya takde kekuatan nak tolak...aura dia tu...," tulisnya.

Klinik rawatan kecantikan terkenal, Dr Ko Skin Specialist juga menggunakan ayat yang hampir sama.

"Kalau dah dirawat 18 kali jerawat asyik tak hilang-hilang, jadikan Dr Ko pilihan ke-19 kali. Memang dah takda kekuatan nak tolak lagi. Aura Dr Ko...," tulisnya di Facebook.

Sementara itu, Farhan berkahwin dengan janda anak lapan dan menceraikan isteri pertamanya, Fatin Nurul Ain Mat Aris menerusi Whatsapp pada Selasa lalu ketika isterinya itu kini sedang sarat mengandung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 9:40 PM