NAIM turut membintangi drama bersiri Pia.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


PERTAMA kali bakal melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas tiga kali mencuba nasib menjadikan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel tidak pernah mengeluh untuk berusaha.

Penyanyi lagu Sumpah ini sebaliknya terus berusaha keras dan mengakui, apa yang dikecapi hari ini adalah atas usaha serta doa semua orang di sekelilingnya.

“Sumpah adalah single ketiga saya. Saya dan pihak pengurusan pernah mencuba nasib untuk membawa single pertama dan kedua sejauh ini, namun belum tuah saya pada waktu itu.

“Walaupun saya dah bekerja dalam bidang seni sejak usia lapan tahun, baru kali ini tuah menyebelahi dan lagu saya diangkat untuk ke AJL,” katanya.

Ditanya sama ada dia meletak harapan tinggi untuk lagu Sumpah, Naim lebih selesa berbicara mengenai keterujaannya apabila dapat bergabung dengan barisan penyanyi hebat lain dalam industri.

“Saya rasa sangat berbesar hati dan yakin setiap lagu yang bertanding tentunya meletakkan harapan untuk menggenggam gelaran juara. Saya yakin dengan keputusan barisan juri yang membuat keputusan.

“Dapat berada dalam kalangan penyanyi ‘A-List’ dan pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk vokal terbaik dan sebagainya pun dah membuatkan saya rasa seperti ‘David vs Goliath’,” katanya.

Kata pelakon drama bersiri Pia itu lagi, fasa ini adalah fasa dia mencari kematangan untuk kerjaya seninya.

“Ini secara tak langsung menjadikan saya lebih matang dan tak hanya duduk di dalam zon selesa. Saya juga menyahut cabaran ini untuk mematangkan lagi karier seni saya,” katanya.

Saat diminta berkongsi mengenai perancangannya untuk persembahan di pentas AJL34, Naim berkata, dia tidak mahu konsep yang keterlaluan.

NAIM tidak mahu konsep keterlaluan.

“Kalau boleh, biarlah persembahan saya dari segi emosi dan penyampaian akan dilebihkan berbanding konsep kerana tak mahu konsep persembahannya dianggap keterlaluan sehingga mengaburi persembahan sebagai penyanyi,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai persiapannya, Naim juga memaklumkan dia akan terus mencari ilmu dalam bidang vokal.

“Memang sejak awal, pihak pengurusan ada menyediakan kelas vokal dengan guru yang saya kenal. Jadi, ia sedikit sebanyak membantu dan pada masa sama, memberi ruang untuk saya bereksperimentasi serta melihat sendiri tahap kemampuan vokal diri,” katanya.

Ditanya sama ada tertekan dengan komen warganet yang meletakkan harapan tinggi untuk lagu Sumpah, Naim mengubah semua tekanan itu kepada doa.

“Kalau nak anggap komen itu sebagai tekanan, kita pun akan tertekan. Jadi, saya tukarkannya kepada doa daripada peminat dan aminkan doa mereka. Dari situ, saya akan dapat aura positif.

“Sebagai pengkarya, kita kena berbangga dengan karya sendiri dan kongsikan dengan peminat. Kalau kita sendiri tak percaya dengan karya kita, bagaimana orang lain nak percaya dengan karya kita,” katanya.

NYANYIAN JADI KEUTAMAAN

Walaupun memulakan langkah di dalam industri sebagai pelakon, itu tidak bererti nyanyian menjadi perkara kedua buat anak seni berusia 22 tahun ini.

Baginya, setiap apa yang dilakukannya perlulah dengan bersungguh-sungguh.

“Fokus saya pada ketika ini adalah untuk muzik. Berlakon pun saya dah pernah buat sejak kecil, jadi sekarang cuba perlahankan kerjaya lakonan.

“Dalam apa juga yang kita lakukan, jangan sekadar ‘sebelah kaki’. Maksud saya, biarlah ia secara sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Saya tak mahu menjadi artis yang kosong dan tak ada matlamat.

“Tugas sebagai figura awam bukanlah satu tugas kecil kerana setiap apa yang kita lakukan, akan diperhatikan. Jadi, kalau nak buat sesuatu, buat dengan bersungguh-sungguh sehingga kita dapat hasil yang diinginkan,” katanya.

Naim juga tidak menafikan dia sudah ada persiapan dan strategi sendiri sekiranya orang mula lupa bahawa dia juga pernah bergelar pelakon.

“Kalau ada naskhah yang benar-benar bersesuaian, saya akan pertimbangkan. Sekiranya skrip dan karakter ditawarkan menarik perhatian, mungkin saya akan terima.

“Tak mungkinlah saya nak tinggalkan dunia lakonan terus kerana di situlah punca rezeki pada awal kemunculan hingga sekarang,” katanya.

Terkini, Naim kini dalam persiapan untuk mengeluarkan album sulungnya yang dijangka dikeluarkan menjelang

tahun depan. Selain itu, dia juga mempersiapkan diri dengan beberapa perancangan lain antaranya untuk mengadakan siri jelajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:20 AM