Rohani (kiri) bersama Spiderman menenangkan Ahmad Fawwaz ketika dikhatankan. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply


ADIWIRA ‘Spiderman’ terpaksa dipanggil bagi menenangkan kanak-kanak berusia lima tahun yang menangis ketika mahu disunatkan sempena Program Jom Berkhatan di Hotel Bersama Asnaf Sempena Maulidur Rasul di Paya Bunga Hotel Terengganu, Kuala Terengganu hari ini.

Tangisan Ahmad Fawwaz Abdul Rahman menarik perhatian ramai selain turut menimbulkan panik peserta lain yang sedang menunggu giliran masing-masing di luar bilik berkenaan.

Selain bantuan ‘Spiderman’, Riyzman Abd Rashid yang juga kakitangan hotel berkenaan, anak sulung daripada dua beradik itu terpaksa dipegang ibunya, Rohani Ramli, 43, dan dua lagi ahli Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

Rohani berkata, dia tidak menyangka anaknya bertindak sedemikian sedangkan sebelum ini anak sulungnya itu beria-ria mahu berkhatan.

“Dia sendiri mahu bersunat sebab semua sepupunya sudah bersunat kerana apabila mereka berkumpul, mereka bagi tahu dia tidak sunat.

“Jadi dia minta nak bersunat kerana mahu sama seperti sepupunya dan lebih membuatkan dia teruja apabila ada ‘Spiderman’ yang memang diminatinya.

“Pada mulanya, semua berjalan lancar namun sebaik dibaringkan, dia mula menangis dan hampir 30 minit baru semuanya selesai,” katanya.

Bagi Mat San Sulong, 59, dia dan isteri, Zulihan Puteh, 55, bersyukur kerana anak mereka, Muhammad Fairuz Adha, 10, terpilih sebagai antara peserta program berkhatan secara percuma itu.

“Sebelum ini, kami daftarkan nama anak untuk dikhatankan dalam program berkhatan yang akan diadakan di kampung namun sudah rezeki anak terpilih berkhatan di hotel.

“Kos berkhatan ini sekurang-kurangnya RM200 dan Alhamdulillah, sekurang-kurangnya boleh gunakan wang itu untuk buat persiapan membeli barangan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Paya Bunga Hotel Terengganu, Abdul Hadi Alias berkata, program yang julung kali diadakan itu anjuran bersama Paya Bunga Hotel Terengganu dan Duyong Marina & Resort bersama PAPISMA.

Katanya, 29 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menyertai program berkenaan sempena musim cuti sekolah kali ini.

“Kita menyediakan dua pakej iaitu pakej Spider Kid berharga RM195 termasuk bayaran berkhatan dan sarapan pagi untuk peserta bersama ibu bapa dan pakej Iron Kid berharga RM350 bagi mereka yang bermalam serta sarapan pagi.

“Daripada 29 orang itu, terdapat empat kanak-kanak asnaf dan mereka ini tidak dikenakan bayaran sebagai meraikan mereka yang kurang bernasib baik.

“Melihat kepada sambutan, kita berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 11:38 AM