Siti Fatimah bersama Nasmir dan (gambar kanan) rakaman yang tular di FB ketika menaiki bas dengan berkain pelekat kerana baru berkhatan. Foto ihsan Pembaca
Suraya Roslan

“SAYA tidak berkemampuan dan terpaksa heret anak ke tempat kerja walaupun dia masih sakit kerana berkhatan,” kata Siti Fatimah Ludin, 35, mengenai tular gambar anak lelakinya, Nasmir Amir Abdul Aziz, 9, yang menaiki bas dalam keadaan memakai kain pelekat dipercayai baru selesai berkhatan.

Gambar Nasmir itu dirakam seorang pemilik akaun Facebook (FB) sehingga menarik perhatian netizen yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu yang terpaksa menaiki bas selepas berkhatan.

Siti Fatimah yang juga ibu tunggal berkata, biar apa pun orang menganggap mengenai dirinya, dia terpaksa membawa anaknya ke tempat kerja walaupun anak sulungnya masih lagi kesakitan.

Menurutnya, anaknya tidak merungut dan dia faham kesusahan yang dialami ibunya itu.

"Saya tidak akan sesekali tinggalkan anak dalam keadaan begitu di bilik sewa seorang diri dan disebabkan itu terpaksa membawanya menaiki bas dan MRT (transit aliran massa) ke tempat kerja di sebuah restoran di Brickfields.

"Gambar berkenaan diambil ketika saya bersama Amir dan seorang lagi anak, Nurhidayu yang berusia 2 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah kami di Subang Perdana," katanya ketika dihubungi di Harian Metro.

Menurutnya, gambar berkenaan dirakam pada hari kedua selepas Nasmir berkhatan di Masjid Taman Subang Perdana.

"Nasmir anak yang baik. Dia tidak pernah mengeluh dan merungut dengan kesempitan hidup malah hanya mengikut saja ke mana saya pergi dan cakap.

"Sejak usia dia enam tahun lagi saya sudah tinggalkan dia bersendirian di bilik sewa selepas pulang dari tadika sehingga sekarang.

"Bagaimanapun, setiap Sabtu dan Ahad dia akan mengikut saya ke tempat kerja tetapi pada musim cuti sekolah ini memang saya akan membawanya ke tempat kerja, tidak sanggup saya tengok dia kesakitan seorang diri di bilik sewa kami," katanya.

Siti Fatimah berkata, dia dan bekas suami bercerai ketika dia sedang mengandung anak bongsunya dan kini dialah yang mengambil tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

"Saya terpaksa keluar mencari rezeki dengan bekerja di kedai makan. Gaji saya juga bergantung kepada hari bekerja, jika tidak bekerja tiadalah gaji untuk saya.

"Kami menetap di Subang Perdana setiap kali hendak ke tempat kerja dan akan menaiki bas turun di Ara Damansara dan seterusnya menaiki MRT ke Kuala Lumpur Sentral bermula 5.30 pagi hingga 11 malam," katanya yang turut menerima bantuan Pusat Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 8:00 PM