KEADAAN motosikal. Gambar kanan: Nor Azli yang maut dalam kemalangan jalan raya. FOTO ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli


RINGAN tulang dan gemar menyertai aktiviti bersama masyarakat di kampung.

Itu gambaran peribadi mangsa kemalangan motosikal yang badannya terputus dua, Allahyarham Nor Azli Sharif Hassan, 31.

Nor Azli yang mahir dalam penulisan khat juga sering membantu jemaah dalam menguruskan jenazah apabila berlaku kematian di kampung.

Kakaknya, Rosmawati, 49, berkata, anak kelima daripada enam beradik itu memang gemar bergurau serta sering membantu keluarga terutama dari segi kewangan.

Malah, beberapa hari sebelum kemalangan, Nor Azli yang masih bujang dan bekerja di syarikat rekreasi aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV) di Balik Pulau tidak menunjukkan perubahan sikap namun banyak menyendiri.

“Motosikal yang ditunggangi Nor Azli itu baru sahaja dibeli lapan hari sebelum Allahyarham terbabit kemalangan, namun motosikal berkenaan hanya mengalami kerosakan kecil pada lampu belakang.

“Sehari sebelum kemalangan, dia juga memberitahu sepupunya bahawa jika mahu ‘pakai’ motosikal berkenaan, boleh gunakan sahaja pada bila-bila masa,” katanya ditemui di kediaman mereka di Sungai Rusa, semalam.

Pada nahas di Jalan Bertingkat Lebuhraya Tun Dr Lim Choong Eu menghala ke Batu Maung pada 29 November lalu, motosikal ditunggang Nor Azli hilang kawalan sebelum terbabas.

Ia kemudian terlanggar tiang lampu di tembok pemisah menyebabkan badannya terputus dua daripada paras pinggang ke bawah.

Menurut Rosmawati, Nor Azli juga tidak lokek berbelanja terutama bagi keperluan ibu tirinya, Shaadiah Zakaria, 66, serta dua adik-beradiknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) cacat tangan dan bisu.

Katanya sehari sebelum kejadian, Nor Azli memuat naik hantaran di Facebook mengenai hasratnya mahu mencari pekerjaan sambilan pada waktu malam bagi mencari wang tambahan untuk berkahwin.

“Kami tidak pernah bertemu wanita pilihan hati yang dimaksudkan Nor Azli dan hanya bapa saudaranya sahaja pernah melihat gambar wanita itu,” katanya.

Terdahulu, keluarga Allahyarham menerima kunjungan Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown, Rafidah Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim, bagi menyampaikan sumbangan.

Rafidah berkata, syarikat tempat Nor Azli didapati tidak melakukan caruman selama tiga bulan terhadap mangsa dan majikannya sudah diperintahkan berbuat demikian.

“Kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua majikan supaya tidak mengambil mudah isu caruman pekerja kerana malang tidak berbau dan sekurang-kurangnya mereka mendapat pampasan jika berlaku kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:15 AM