WANITA yang dikenali sebagai Sha bercakap kepada wartawan HM. FOTO Aziah Azmee
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik


MAHLIGAI bahagia diimpikan seorang pelakon wanita berkecai apabila ‘ahli perniagaan’ Indonesia yang baru dikahwininya dikenal pasti sebagai penjenayah dikehendaki polis.

Artis berusia lewat 30-an itu langsung tidak mengesyaki identiti suaminya berusia 54 tahun berikutan lelaki itu bijak bersandiwara dan mendakwa dia jutawan.

Malah, lelaki terbabit yang pernah bertanding pada pilihan raya di Indonesia sebelum ini sengaja menayangkan kemewahan dimiliki untuk meyakinkan pelakon berkenaan termasuk mangsa lain ditipunya.

Bagaimanapun, perkahwinan rahsia pada Ogos lalu musnah selepas lelaki terbabit menghilangkan diri sejurus beberapa mangsa ditipunya tampil membuat laporan polis.

Pelakon yang juga pengacara wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sha itu berkata, dia mula mengenali lelaki terbabit ketika syarikatnya sedang merangka projek mengendalikan acara sukan di ibu negara, September lalu.

Menurutnya, seorang artis senior memperkenalkan suaminya itu yang didakwa sedang mengembangkan perniagaan ke negara ini selain sanggup menaja program sukan bakal dijalankan itu.

“Dia bersetuju memberi tajaan AS$2 juta (RM8.3 juta).

“Malah, bagi meyakinkan saya dan kakitangan lain, dia menunjukkan sikap pemurah dan gemar memberikan wang,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama lelaki terbabit kerap menyatakan hasrat mahu mengahwininya dan niatnya dinyatakan berulang kali.

“Mulanya saya malas memikirkan ajakannya namun selepas kerap didesak saya akhirnya mengalah.

“Kami berkahwin di sebuah masjid di selatan Thailand,” katanya.

Sha berkata, sebaik pulang suaminya menyewakan banglo empat tingkat di Subang Jaya, tetapi dokumen sewa RM5,000 sebulan itu menggunakan namanya kerana lelaki itu belum menjadi penduduk tetap.

“Suaminya berbelanja sakan membeli pelbagai perabot dan barangan elektrik dan membayar tunai hampir RM200,000,” katanya.

Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila sepasang suami isteri warga Indonesia menghubunginya memaklumkan sudah menyerahkan wang lebih RM1 juta kepada suaminya itu.

“Malah, ramai mangsa lain membabitkan warga Indonesia mendakwa diperdaya suami kononnya wang itu mahu digunakan untuk pelaburan dan pembelian saham di Malaysia,”katanya.

Menurutnya, menyedari ada antara mangsa membuat laporan polis di negara ini, suaminya melarikan diri sejak November lalu.

“Hasil siasatan dan semakan mendapati suami saya pernah disiasat di Indonesia berhubung kes rasuah membabitkan nilai Rupiah 35 miliar (RM10.4 juta) beberapa tahun lalu.

“Susulan itu, saya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya baru-baru ini berikutan bimbang dituduh bersubahat dengan suami,” katanya.

Lebih menyedihkan, katanya dia berdepan tindakan mahkamah apabila tidak mampu melunaskan baki sewa rumah banglo terbabit lebih RM5,000.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya yang dihubungi memaklumkan pihaknya tidak mengesan pergerakan keluar suspek dari negara ini melalui laluan yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 7:00 AM