Norasikin Daineh


KELUARGA tiga beranak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kaikoura, New Zealand, semalam berhasrat mengebumikan jenazah mangsa di tanah perkuburan Islam di Christchurch.

Dalam kemalangan itu, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, meninggal dunia bersama suami, Adanan @ Adnan Jeman, 49, dan seorang anak perempuan mereka.

Abang sulung Dr Rumihati, Othman, 60-an, berkata, pihak keluarga tidak mempunyai masalah untuk memberi keizinan bagi pengebumian di negara itu kerana mahu memenuhi ‘rancangan’ arwah sebelum ini.

“Sebelum ini, arwah ada beritahu mahu melawat masjid di Christchurch yang menjadi sasaran pengganas pada Mac lalu.

“Dia beritahu sebelum mereka berlepas ke sana (New Zealand) untuk melancong pada 2 Disember lalu.

“Disebabkan itu, kami setuju agar mereka dikebumikan di sana (Christchurch) kerana mereka tidak sempat melawat kawasan itu.

“Kami akan merayu agar mereka dikebumikan di sana. Buat masa ini, kami tidak tahu situasi sebenar dan hanya mahu cepat tiba di Christchurch saja,” katanya.

Othman yang juga pesara RTM turut memberitahu masih menunggu maklumat terkini daripada pihak berkuasa negara itu.

Dia dan ahli keluarganya juga berada di Kuala Lumpur dan dijangka berlepas ke New Zealand, malam ini.

Dr Rumihati adalah pakar perubatan di Klinik Kesihatan Putatan, Sabah, bercuti ke negara itu bersama suami dan beberapa anak, sebelum kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori.

Wisma Putra mengesahkan tiga beranak meninggal dunia, manakala dua lagi parah, dirawat di Hospital Christchurch dan Hospital Wellington.

Berita berkaitan

3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand

Wisma Putra sah mangsa sekeluarga

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 4:58 PM