Iskandar Shah Mohamed


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang memenangi pingat emas acara keirin pada saingan Piala Dunia di New Zealand, hari ini.

Pada aksi final di Avantidrome Cambridge, pelumba yang dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan saingan menerusi 9.853s.

Pingat perak acara itu pula dimenangi pelumba Russia, Shane Alan Perkins manakala gangsa menjadi milik Matthew Glaetzer dari Australia.

"Dah 18 kali saya kalah tapi kali ke 19 ni saya kena menang lah pulak... Kekuatan dia tu lain macam.

"Gurau okay... jangan serius, jangan marah," kata Azizulhasni dalam catatan di akaun Instagram peribadinya. 

Kejayaan itu menebus kekecewaan pelumba elit berusia 31 tahun berkenaan yang hanya menamatkan saingan keirin di tempat keenam dengan merekodkan masa terpantas 9.948s pada siri Hong Kong, minggu lalu.

Saingan Piala Dunia musim ini amat penting bagi pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 Rio itu untuk mengutip sebanyak mungkin mata kelayakan ke Olimpik 2020 Tokyo.

Siri seterusnya dijadualkan berlangsung di Brisbane, Australia pada 13 hingga 15 Disember ini diikuti Milton, Kanada (24-26 Januari 2020).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:58 PM
Azizulhasni (tengah) selepas mengungguli acara keirin saingan Piala Dunia di New Zealand. FOTO Twitter Azizulhasni