Redzuan Muharam


BUKAN kek biasa-biasa, sebaliknya kek tempah khas bersama wang untuk meraikan ulang tahun kelahiran insan yang paling istimewa.

Itu yang dilakukan Izzah Ilyana Mohd Radzdi, 20, demi meraikan hari jadi ayahnya, Mohd Radzdi A Karim, 52, dan abangnya, Muhammad Aiman, 24, pada Rabu lalu.

Dia menempah kek istimewa yang berisi RM300 dalam bentuk wang kertas RM1, RM5, RM20, RM50 dan RM100.

Malah, video 29 saat menunjukkan dua lelaki itu menarik keluar wang berkenaan yang dimuat naik di Twitter sejak kelmarin, sudah meraih lebih 200,000 tontonan.

Kebanyakannya memuji usaha Izzah Ilyana yang ikhlas menggembirakan insan tersayang, selain ada yang terhibur dengan reaksi comel dua beranak itu.

Ketika dihubungi, wanita itu memberitahu dia sudah lama merancang untuk membeli kek berkenaan kerana tertarik dengan keunikannya.

“Pertama kali melihat kek itu ketika menghadiri majlis rumah terbuka pada Aidilfitri lalu. Sejak itu, saya sangat tertarik dan kebetulan pula tarikh lahir abang dan ayah hanya beza beberapa hari saja, iaitu 29 November dan 4 Disember.

“Jadi, saya dan adik (Izzah Izwani, 15) berkongsi wang bagi menempah kek berkenaan sebagai kejutan sempena ulang tahun kelahiran mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, niatnya memuat naik video itu sekadar untuk berkongsi detik manis berkenaan dengan pengikutnya di Twitter.

Namun, dia tidak menyangka video berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada warganet hingga ada yang bertanya di mana dia menempah kek berkenaan.

“Alhamdulillah tahun ini kelainan kami menjadi walaupun sebelum ini sekadar beli kek biasa dan keluar makan bersama untuk sambutan hari jadi.

“Ayah dan abang benar-benar terkejut melihat duit keluar daripada kek itu. Ia hadiah kami untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 8:00 PM
MOHD Radzdi (kanan) dan anaknya, Muhammad Aiman menarik duit daripada kek sempena hari lahir mereka. FOTO Ihsan Izzah Ilyana Mohd Radzdi.