Norasikin Daineh


“DIA manja, cepat merajuk, kami selalu ikut saja apa dia mahu. Dialah adik kesayangan kami, dialah ‘doktor’ kami,” kata Zaiton Abd Hamid, 61.

Zaiton meluahkan kesedihannya itu susulan kehilangan adiknya, Dr Rumihati, 49, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Dalam kemalangan itu, Dr Rumihati meninggal dunia bersama suami, Adanan @ Adnan Jeman, 49, dan seorang anak perempuan mereka.

Menurut Zaiton, sebelum arwah bersama keluarga berlepas ke New Zealand, anaknya yang menghantar tiga beranak itu ke lapangan terbang pada Isnin lalu.

“Ada rasa pelik sedikit dua hari sebelum itu (bercuti), dia (Dr Rumihati) bersama tiga anaknya datang ke rumah kakak saya.

“Arwah menghantar satu borang pemeriksaan darah untuk diberikan kepada abang sulung supaya berjumpa doktor.

“Biasanya, apa saja berkaitan (masalah) kesihatan, kami yang akan datang ke rumahnya tetapi peliknya, dia yang datang kepada kami untuk urusan itu.

“Bukan kebiasaan bagi arwah untuk urusan (mengenai kesihatan) hingga datang ke rumah kami,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Ulu Putatan, Putatan.

Selain Zaiton, arwah ada tiga lagi kakak, iaitu Taisah, 66, Tijah, 65, dan Jaidah, 62.

Abang sulung arwah, Othman, 60-an, dijadualkan berlepas ke Christchurch, New Zealand malam ini.

Bercerita lanjut, Zaiton berkata, keluarga arwah adiknya sudah biasa bercuti ke luar negara setiap tahun, malah pernah membawanya cuti bersama mereka.

“Tahun-tahun sebelumnya, arwah pernah bawa saya dan suami bersama anak bercuti ke Jepun, Beijing dan Hong Kong.

“Tahun lalu, dia pergi bersama keluarga ke London dan tahun ini ke New Zealand,” katanya.

Mengenai kejadian itu, Zaiton berkata, mereka dimaklumkan berhubung kejadian itu selepas menerima panggilan daripada Wisma Putra.

“Kami masih menunggu maklumat dari abang sulung yang pergi ke New Zealand. Siapa yang ada (masih hidup), siapa yang sudah tiada (meninggal dunia).

“Kami tidak tahu anak yang mana satu (meninggal dunia),” katanya.

Menurut Zaiton, adiknya itu ada tiga anak perempuan iaitu yang sulung berusia 15 tahun, kedua berusia 13 tahun dan yang bongsu berusia 11 tahun.

Kediaman keluarga Dr Rumihati diselubungi suasana sedih selain turut dikunjungi ahli keluarga terdekat dan kenalan arwah.

Berita berkaitan

3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand

Wisma Putra sah mangsa sekeluarga

Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 8:15 PM
(Dari kiri) Tijah, Taisah, Zaiton dan Jaidah bersedih dengan tragedi yang adik mereka, Dr Rumihati. FOTO Edmund Samunting