AS’AD Motawh. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ardini Sophia Sina

GIAT mempromosikan lagu baru berjudul Selamanya, penyanyi As’ad Motawh amat bersemangat setiap kali berkongsi cerita perkembangan menggembirakan itu.

Sepanjang tahun ini, penyanyi berusia 18 tahun itu kerap dihambat kontroversi. Bagaimanapun, kata As’ad, perkara itu bukanlah dirancang sebagai gimik melariskan namanya.

Imbas kembali, nama As’ad mula menjadi perbualan selepas seorang gadis bertudung memeluknya ketika penyanyi itu beraksi di atas pentas.

Kemudian, ketika membuat persembahan di Kota Kinabalu, As’ad terjatuh dari pentas akibat ditarik peminat sehingga lebam di beberapa anggota badan.

Senyap seketika, As’ad sekali lagi dihambat kontroversi apabila video muzik Selamanya disalah erti kononnya jejaka itu pernah menghamilkan teman wanitanya.

Spekulasi warganet itu membuatkan ibu As’ad iaitu Datuk Yustita J Al-Djabbarn menjelaskan lagu itu adalah inspirasi keadaan As’ad yang pernah mengalami kemurungan akibat kecaman warganet.

“Kontroversi itu bukan disengajakan. Jauh sekali direka untuk menarik perhatian.

“Terpulanglah kepada umum untuk terima penjelasan saya atau terus percaya tanggapan mereka sendiri.

“Apa yang lebih penting saya fokus dengan rancangan untuk keluarkan album sulung tahun depan.

“Selain itu, saya giat mempromosikan lagu Selamanya,” kata As’ad.

Album yang dijangkakan berada di pasaran pada 2020 itu memuatkan lapan lagu termasuk dua single duet.

Namun begitu, As’ad belum bersedia mengesahkan tarikh album itu dilancarkan.

Bagaimanapun, As’ad akan mengadakan jelajah bagi mempromosikan album berkenaan namun kali ini bukan sekitar Malaysia tetapi juga Indonesia dan Singapura.

AS’AD Motawh. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Orang cakap zaman sekarang album susah nak laris. Sebagai penyanyi menjadi impian saya untuk ada album sendiri.

“Sebelum ini, saya pernah buat jelajah mempromosikan lagu Warna dan Selamanya.

“Namun, untuk tahun depan ia konsert jelajah berskala lebih besar.

“Dahulu ada enam tempat saja di Malaysia, mungkin saya akan tambah 10 lokasi,” katanya.

Bukannya tidak mahu mengadakan satu konsert besar di Kuala Lumpur namun anak muda itu lebih seronok dapat berkunjung ke serata tempat untuk bertemu peminat setia.

Katanya, tidak semua peminat dapat datang ke ibu kota untuk menonton persembahannya.

Justeru, konsert itu diadakan bagi menghargai pengikutnya selama ini.

“Saya lebih suka pergi ke banyak tempat kerana dapat lihat kehidupan orang selain berpeluang bertemu peminat.

“Kalau di Kuala Lumpur sahaja, mungkin sukar untuk peminat lain datang.

“Jadi, biarlah saya yang datang ke tempat mereka.

“Tidak dinafikan konsert jelajah nanti akan makan belanja besar.

“Namun, saya yakin kalau orang suka lagu dalam album itu nanti, mereka akan beli tiket untuk tonton konsert saya.

“Saya tidak kesah pun kalau yang datang beli tiket itu hanya 500 orang.

“Itu sudah memadai bagi saya. Seronok buat konsert jelajah sebab boleh dekat dengan peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:01 AM