ZAKARIA bersama lukisan periuk kera yang dipamerankan di galeri miliknya di Kampung Sentosa. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

KEISTIMEWAAN dan keunikan yang ada pada tumbuhan periuk kera menjadi sumber ilham bagi pesara guru, Zakaria Adam, 68, untuk menghasilkan karya lukisannya.

Minatnya yang mendalam terhadap tumbuhan itu menyebabkannya dia dikenali dengan nama ‘Zakaria Periuk Kera’ dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, dia meminati periuk kera atau nama saintifiknya Nepenthes kerana keindahannya selain tumbuhan unik itu memiliki falsafah tersendiri.

“Tumbuhan ini dikatakan sebagai tumbuhan pemangsa tetapi sebenarnya ia hanya bertindak sebegitu apabila diganggu.

“Selain itu ia tidak bersikap hipokrit, tidak pernah berpura-pura mahupun menyamar seperti sesumpah dan sentiasa menjadi diri sendiri,” katanya yang memiliki galeri sendiri dikenali sebagai Galeri M Warna di Kampung Sentosa, Maran.

Katanya, pengalaman dibesarkan di kampung dan dikelilingi tumbuhan itu juga menjadi faktor utama dia menjadikan periuk kera sebagai subjek karyanya sejak 20 tahun lalu.

“Saya memilih cat minyak dan akrilik sebagai medium utama untuk menghasilkan ratusan lukisan periuk kera.

“Selepas bersara, saya menumpukan perhatian pada melukis untuk mengisi masa lapang dengan berada sepenuh masa di galeri selain menyertai pelbagai pameran lukisan,” kata bekas guru mata pelajaran Pendidikan Seni ini.

TELITI menyiapkan lukisan objek kegemaran. FOTO Roselan Ab Malek

Katanya, peminat karyanya bukan saja terdiri daripada orang tempatan tetapi juga luar negara yang mana mereka mempunyai pelbagai latar belakang termasuk golongan kenamaan.

Dalam pada itu, Zakaria berharap lebih ramai golongan muda menceburi bidang seni itu, malah dia sudi menawarkan pengalaman dan kemahiran untuk dicurahkan secara percuma dengan sokongan beberapa pihak berkaitan.

Mengulas isu tumbuhan itu menjadi tumpuan pengusaha lemang periuk kera, Zakaria berharap langkah pemuliharaan dapat dilaksanakan bagi melindungi survival tumbuhan itu.

“Kalau orkid boleh ditanam semula, kenapa periuk kera tidak boleh dipandang serius, namun saya akui penanamannya sedikit rumit kerana saya pernah menanamnya sebelum ini.

“Tumbuhan ini mempunyai pelbagai jenis, boleh diambil tetapi pengambilannya perlu dikawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:31 AM