Nor ‘Asyikin Mat Hayin

HUKUMAN penjara sebulan terhadap enam lelaki yang tidak menunaikan solat fardu Jumaat baru-baru ini menyedarkan ramai lelaki bahawa soal sembahyang bukan isu remeh.

Bagaimanapun, hukuman ini boleh dianggap kes terpencil kerana sebelum ini, terlalu sukar untuk melihat pesalah yang ponteng solat Jumaat menerima hukuman setimpal.

Setiap negeri, kecuali Sarawak, memiliki peruntukan tersendiri berkaitan ponteng solat Jumaat dalam Enakmen Jenayah Syariah, namun mengapa ia jarang dikuatkuasakan?

Wartawan, Nor ‘Asyikin Mat Hayin, juruvideo Saiful Iskandar Ismail dan jurugambar Saddam Yusof, mewawancara Presiden Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang bagi mengupas isu ini.

MUSA Awang. FOTO Saddam Yusof

Enakmen jenayah syariah berkaitan ponteng solat Jumaat dikuatkuasakan di seluruh negeri kecuali Sarawak, namun hukumannya berbeza. Mengapa tidak diseragamkan?

Enakmen jenayah syariah dibuat berdasarkan kepada Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan ini, kuasa perundangan tertakluk kepada kerajaan negeri.

Apa sahaja isu berkaitan kesalahan hukum-hakam agama yang membabitkan orang Islam adalah di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebab itu, apabila undang-undang ini digubal, akan wujud perbezaan di setiap negeri kerana pemahaman mereka terhadap undang-undang berlainan.

Jika kita melihat antara negeri, terdapat banyak peruntukan berbeza dari segi hukuman.

Contoh mudah, bagi kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kariah tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie di Selangor dan Wilayah Persekutuan, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Saya percaya di negeri lain (selain Selangor dan Wilayah Persekutuan), denda maksimum bagi kesalahan tidak solat Jumaat adalah sama nilainya.

Namun, berbeza di Terengganu yang asalnya, denda dikenakan ialah RM1,000. Tetapi, pada 2016 ada pindaan daripada DUN Terengganu dengan menambah hukuman denda menjadi RM3,000.

Untuk menyeragamkan hukuman ini, adalah agak sukar sebab kadangkala Kerajaan Pusat akan menjadikan undang-undang sebagai panduan (model law) tetapi akan ada perubahan di negeri lain sama ada dari segi hukuman atau peruntukan undang-undang itu sendiri.

Pihak berkuasa agama negeri seolah-olah berdepan masalah walaupun hanya untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang tidak solat Jumaat. Mengapa ia berlaku?

Ada tiga perkara terbabit dalam isu ini.

Pertama, undang-undang menyebut seorang lelaki yang baligh tidak menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kariahnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie dianggap melakukan kesalahan ponteng solat Jumaat.

Maksudnya, dari segi undang-undang, jika seseorang itu tidak solat Jumaat dua atau tiga kali tetapi bukan secara berturut-turut tanpa uzur syarie, maka orang berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan.

Kedua, ada kalanya lelaki berdepan keuzuran seperti bermusafir dan bagaimana kita hendak mengenal pasti dia dari kariah masjid yang sama atau datang dari luar.

Ketiga, penguatkuasaan. Jika penguat kuasa agama lelaki yang melakukannya (penguatkuasaan) dia turut melakukan kesalahan tidak solat Jumaat dan boleh dikenakan tindakan.

Dalam kes di Terengganu, mereka meminta penguat kuasa agama wanita melaksanakan intipan dan risikan terlebih dahulu.

Kemudian penguat kuasa lelaki melakukan tangkapan selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Ini antara kekangan dihadapi untuk melaksanakan penguatkuasaan.

Adakah pihak berkuasa agama sesebuah negeri ‘hanya betul sendiri’ membabitkan sesuatu enakmen jenayah syariah dan kerana itu hukuman berbeza?

Dalam sesetengah keadaan, ada terjadi perkara itu. Maksudnya sesi perbahasan dilaksanakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menentukan jumlah denda dan penjara oleh ahli DUN.

Ahli DUN akan berbahas dan mengambil kira keputusan majoriti kerana jika melihat dari segi hukuman, negeri lain masih kekal dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Tetapi di Terengganu, DUN berasakan jumlah denda itu terlalu rendah sedangkan masih ramai lelaki tidak solat Jumaat.

Maka DUN Terengganu berpendapat hukuman berkenaan perlu ditambah.

Pada 2016, DUN Terengganu mencadangkan undang-undang itu dipinda dan diluluskan iaitu hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara tetapi negeri lain masih mengekalkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan.

Saya bersetuju dan berpendapat perlu ada persepakatan dalam menggubal undang-undang serta jangan berasakan mereka saja yang betul.

Di negeri A misalnya, hukuman berbeza dengan B. Ia menyebabkan orang Islam sendiri kurang gentar untuk melakukan kesalahan seperti ponteng solat Jumaat. Apa pendapat tuan?

Saya mengakui wujud perbezaan dari segi hukuman bagi kesalahan ponteng solat Jumaat.

Saya berpendapat hukuman sedia ada iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya itu agak rendah berbanding kesalahan dilakukan.

Kesalahan kali kedua pula, hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Disebabkan undang-undang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan ini yang agak rendah, maka kadangkala menyukarkan pihak penguat kuasa agama untuk mengambil tindakan ke atas pesalah.

Tugas menangkap lelaki tidak solat Jumaat lebih sukar jika dibandingkan dengan hukuman dalam undang-undang.

Mungkin perkara ini perlu dilihat secara keseluruhan dari segi hukuman rendah dan tidak menepati kehendak hukuman.

Contoh hukuman, ambil Kelantan, misalnya, denda tak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun. Pahang, denda tak lebih RM50 dan penjara tidak melebihi tujuh hari. Kedah pula denda tak lebih RM100 dan penjara tidak melebihi sebulan. Jadi, apa yang menakutkan kaki ponteng solat Jumaat dari segi hukuman?

Hukuman yang ringan memang tidak mengundang rasa gentar kaki ponteng solat Jumaat.

Dalam isu ini, saya melihat mahkamah sepatutnya lebih mengutamakan hukuman alternatif lain.

Tidak semestinya hukuman denda atau penjara. Hukuman alternatif ini seperti memberi amaran, ditahan di pusat pemulihan akhlak dalam tempoh tertentu dan mahkamah mungkin boleh memerintahkan pesalah melakukan kerja amal yang bersifat kemasyarakatan seperti membersihkan masjid.

Saya mengambil contoh yang mudah iaitu membersihkan masjid.

Jadinya, pesalah perlu berada di masjid sekitar jam 11 pagi atau 12 tengah hari untuk melakukan kerja amal dan seterusnya boleh menunaikan solat Jumaat.

Sebenarnya hukuman sebegini lebih sesuai daripada menjatuhkan hukuman denda atau penjara.

Semua orang boleh membayar denda dan hukuman penjara tidak mampu memulihkan akhlak pesalah sebaliknya lebih merosakkannya.

Bagaimana pula mahu mengenal pasti pesalah yang tidak menunaikan tiga solat Jumaat berturut-turut?

Caranya ialah melalui pembuktian menerusi pengakuan pesalah itu sendiri.

Jika pesalah mengaku tidak solat Jumaat tiga kali berturut-turut dalam kariahnya, maka dia boleh dikenakan tindakan.

Dalam kes yang berlaku di Terengganu, ia memberi gambaran seolah-olah Islam sebagai agama yang ‘keras’.

Ini kerana apabila lelaki tidak solat Jumaat, dikenakan hukuman penjara dan denda sedangkan tidak mengetahui fakta sebenar (berapa kali tidak solat Jumaat).

Apakah denda atau penjara mampu memperbetulkan sikap kaki ponteng solat Jumaat?

Tentunya kaki ponteng solat Jumaat mempunyai banyak helah bagi melepaskan diri daripada kesalahan itu.

Saya melihat hukuman denda dan penjara kurang mampu memperbetulkan sikap mereka untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

Secara peribadi, saya lebih suka jika mahkamah memberikan hukuman alternatif seperti melakukan aktiviti sosial atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak bagi memulihkan semula akhlak pesalah.

Sekiranya dipenjara, ia akan ‘mencatatkan’ profil pesalah dan akhirnya sukar mendapat pekerjaan selepas bebas dari penjara.

Mereka sudah melakukan kesalahan dan hukuman itu akan memberikan kemudaratan lebih besar.

Islam tidak mengajar kita bertindak sebegitu. Maksudnya berilah mereka peluang untuk berubah menjadi lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 7:00 AM