Redzuan Muharam


“SAYA tidak sangka terpilih, tetapi cuba melakukan yang terbaik kerana ini adalah peluang keemasan untuk mengharumkan nama negara,” kata ahli kimia, Ameerul Hazeeq Hashim, 27.

Ameerul Hazeeq yang juga penuntut Sarjana Pengkomputeran Kimia di Universiti Malaya (UM) memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi perasaannya selepas ditawarkan menghadiri uji bakat program realiti, Britain’s Got Talent (BGT) 2020 di Nottingham, United Kingdom (UK) pada 15 Disember depan.

Kisah Ameerul Hazeeq atau lebih dikenali dengan nama Hazeeq Hill mendapat perhatian warganet selepas pemuda itu berkongsi berita baik diterimanya dengan pengikut menerusi video yang dimuat naik di Instagram, kelmarin.

Menerusi video berkenaan, Ameerul Hazeeq turut meminta jasa baik orang ramai menghulurkan sumbangan bagi menampung perbelanjaan tiket pengangkutan, penginapan dan makanan sepanjang tiga hari berada di UK bermula 14 Disember depan.

Katanya, pendanaan awam (crowdfunding) itu terpaksa dilakukan kerana masa yang ada amat suntuk untuknya mengumpul wang diperlukan.

Video itu mendapat maklum balas positif daripada pengikut Ameerul Hazeeq yang rata-ratanya memberi sokongan dan kata semangat untuk beliau melakukan yang terbaik.

Bercerita lanjut, Ameerul Hazeeq berkata, dia menghantar penyertaan dalam BGT pada akhir Oktober lalu menerusi kiriman empat video aksinya bermain silap mata ke emel dan Whatsapp rasmi pihak produksi.

“Pada 3 Disember lalu, saya terima tawaran menghadiri uji bakat menerusi emel dan terkejut kerana tidak sangka terpilih ke peringkat itu.

“Mulanya, saya berasa mustahil untuk ke sana (UK) kerana jauh dan faktor kewangan tetapi kembali bersemangat selepas mendapat galakan daripada seorang rakan, Sam Andan yang memberi idea untuk melakukan pendanaan awam menerusi hebahan di kumpulan Whatsapp serta laman sosial.

“Jumlah dana diperlukan adalah sebanyak RM7,500 dan dalam tempoh dua hari, saya berjaya mengumpul RM4,000 hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak kedua daripada tiga beradik itu bersyukur kerana selain orang ramai, ada juga syarikat dan rakyat Malaysia menetap di UK yang menawarkan bantuan untuk membantunya ketika berada di negara itu nanti.

Hazeeq berkata, dia amat menghargai semua bantuan yang diberikan dan akan berusaha sehabis baik bagi tidak menghampakan rakyat Malaysia.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk membeli tiket penerbangan dan dijangka bertolak ke UK pada 13 Disember nanti.

“Saya ada masa sehari saja untuk berehat sebelum menghadiri uji bakat pada Ahad dan misi saya adalah untuk memenangi hati juri supaya layak mara hingga ke peringkat akhir.

“Terima kasih kepada semua yang menyumbang dan kepercayaan anda tidak akan saya sia-siakan.

“Ini tanggungjawab yang besar dan kalau boleh, saya mahu meletakkan negara dalam peta hiburan dunia,” katanya yang berpengalaman menyertai uji bakat peringkat pengarah bagi program Asia’s Got Talent musim kedua (AsGT2).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 7:55 PM
HAZEEQ menerima tawaran menyertai ujibakat BGT 2020 di Nottingham pada 15 Disember depan. FOTO Ihsan Ameerul Hazeeq Hashim
HAZEEQ mahu mengharumkan nama negara menerusi penyertaannya dalam BGT 2020. FOTO Ihsan Ameerul Hazeeq Hashim