PERODUA Kenari milik Muhamad Hafez ditemui semula selepas dijual kepada seorang wanita tanpa ditukar nama pada 2011 sehingga berlaku bayaran ansuran tertunggak.
Redzuan Muharam


USAHA bapa tiga anak, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin menjejaki kereta Perodua Kenari dijual kepada seorang wanita pada 2011 berakhir selepas dua jam membuat hebahan mengenainya di Facebook, semalam.

Muhamad Hafez, 37, dia mula mencari kereta berwarna merah jambu itu sejak enam tahun lalu selepas dimaklumkan pihak bank mengenai tunggakan ansuran bulanan selama dua tahun bermula 2011.

Sejak itu, Muhamad Hafez berusaha menjejaki pembeli kereta berkenaan dan saban tahun membuat hebahan di Facebook dengan menawarkan ganjaran kepada individu menemuinya.

Namun, tiada pihak tampil memberi maklum balas dan maklumat tepat berhubung perkara berkenaan sehingga dihubungi seorang individu yang juga rakan isterinya, semalam.

Muhamad Hafez berkata, dia menjual kereta miliknya kepada wanita berkenaan selepas diperkenalkan seorang rakan dan mengikut persetujuan, pembeli terbabit perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM350.

“Kiranya, dia (pembeli) hanya perlu sambung bayar ansuran bulanan dan saya menyerahkan kunci kepadanya pada waktu itu.

“Itu kali pertama dan terakhir saya bertemu dengannya dan selepas dua tahun iaitu pada 2013, saya menerima panggilan daripada pihak bank yang menyatakan ansuran bulanan kereta sudah lama tertunggak.

“Saya cuba menghubunginya tetapi tidak berjaya dan akhirnya membuat hebahan di Facebook dengan menawarkan ganjaran RM500 dan kali terakhir pada 2017 dengan tawaran RM2,000 tetapi usaha itu masih gagal membuahkan hasil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Hafez, disebabkan bayaran ansuran bulanan kereta tertunggak, namanya disenarai hitam dan hanya menyedari perkara itu pada 2015 ketika membuat permohonan pinjaman overdraft untuk syarikat daripada pihak bank.

Oleh kerana tiada pilihan, dia terpaksa membuat bayaran penuh sebanyak RM10,000 pada 2016 untuk mengeluarkan namanya daripada terus disenarai hitam.

Katanya, pada mulanya dia sudah berputus asa dan anggap tiada rezeki, tetapi tergerak hati untuk menuntut semula haknya selepas melihat sebuah video wanita berkenaan yang tular di laman sosial baru-baru ini.

“Walaupun mengecam wajahnya, saya dapatkan kepastian terlebih dulu daripada rakan yang memperkenalkan saya dengan wanita berkenaan.

“Ternyata, memang dia orangnya dan selepas ada bukti sahih, barulah saya tularkan gambarnya di Facebook untuk hebahan dengan niat meminta bantuan warganet mengesan wanita serta lokasi kereta berkenaan.

“Dalam tempoh singkat iaitu tidak sampai dua jam, saya berjaya mengesan kereta itu yang rupanya terletak hanya tiga kilometer (km) dari rumah.

“Kereta itu berada di hadapan kedai wanita berkenaan di Meru dan saya dapat mengesannya berdasarkan pemeriksaan nombor casis,” katanya yang menetap di Puncak Meru, Ipoh, Perak.

Muhamad Hafez berkata, hebahan dilakukan bukan bertujuan mengaibkan wanita berkenaan, tetapi kerana mahu menuntut haknya semula.

Malah, Muhamad Hafez menganggap tindakan dilakukan tepat pada masanya dan yakin dapat kembali haknya memandangkan kisah perkahwinan wanita berkenaan yang kini tular di laman sosial.

“Ada meminta saya supaya jangan melakukan fitnah, berdosa sedangkan saya tidak mahu apa-apa daripada wanita itu melainkan hak saya.

“Alhamdulillah, dia (wanita berkenaan) sudah menghubungi saya semalam dan memulangkan semula wang RM10,000 menerusi kiriman terus ke akaun bank.

“Kes itu sudah selesai dan pada 2 petang hari ini, wanita berkenaan dan suaminya akan datang bertemu dengan saya bagi mengambil kereta berkenaan yang diletakkan di bengkel rakan saya buat sementara waktu.

“Apa yang berlaku memberi pengajaran kepada saya untuk tidak lagi berurus niaga dengan cara sebegini (jual dan sambung bayar) dan terima kasih kepada warganet yang membantu menyebarkan hantaran saya di Facebook,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 9:00 PM