AHMAD Firdauz berkongsi gambar ketika mengecat bangunan di SK Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini. FOTO Ahmad Firdauz Tahrin.
Redzuan Muharam


GARA-GARA tidak memakai pakaian kerja, Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin diminta menunjukkan laluan ke pejabatnya oleh seorang individu yang tidak menyedari beliau sebenarnya guru besar dicari.

Pengalaman lucu itu dikongsikan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Nanas, Pontian, Johor, Ahmad Firdauz, 36, menerusi hantaran di Facebook miliknya, 4 Disember lalu yang dimuat naik bersama gambar swafotonya dengan latar belakang berus dan bekas berisi cat.

Menerusi hantaran itu, Ahmad Firdauz berkongsi dialog perbualannya dengan seorang individu yang bertanya lokasi pejabat guru besar ketika beliau sedang melakukan kerja keceriaan di kawasan sekolah.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengikut dan warganet yang kebanyakannya memuji sikap rendah diri guru berkenaan kerana tidak memperkenalkan dirinya sebagai guru besar dan kesungguhannya melakukan kerja keceriaan di sekolah.

Ahmad Firdauz berkata, beliau didatangi individu berkenaan ketika sedang mengecat dinding kelas pra sekolah.

AHMAD Firdauz berkongsi gambar ketika mengecat bangunan di SK Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini. FOTO Ahmad Firdauz Tahrin.

Katanya, jawapan diberikan ketika itu adalah spontan kerana beliau segan untuk mengakui dirinya guru besar dan orang yang dicari individu terbabit.

“Pada hari berkenaan, saya tidak memakai baju formal kerana terbabit dengan aktiviti pembersihan bilik dan mengecat dinding pra sekolah.

“Tiba-tiba, saya didatangi individu bertanya lokasi pejabat guru besar dan dengan selamba, saya menunjukkan laluan ke pejabat sebelum meneruskan semula kerja mengecat.

“Rasa segan untuk mengaku saya guru besar yang dicari dan sampai ke sudah, dia tidak mencari saya semula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bapa dua anak yang berpengalaman selama 14 tahun dalam bidang perguruan itu berkata, beliau lebih selesa untuk menjadi dirinya sendiri walaupun menjawat jawatan tertinggi di sekolah.

Disebabkan itu, beliau tiada masalah untuk turun padang dan sama-sama melakukan kerja keceriaan di kawasan sekolah.

“Walaupun bergelar guru besar atau ketua jabatan sekalipun, saya tidak suka mengarah saja sebaliknya sentiasa cuba ‘walk the talk’.

“Di media sosial, saya suka berkongsi perkara positif untuk tatapan pengikut.

“Tak sangka pula, perkongsian saya itu mendapat perhatian warganet namun gembira jika ia dapat memberi inspirasi kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 10:00 PM