HAQIEM Rusli. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Oleh Ramlah Zainal


NAMANYA pernah dihimpit pelbagai kontroversi dan kisah sensasi tahun lalu sekali gus menguji ketabahannya sebagai anak seni.

Bagi penyanyi dan komposer muda popular, Haqiem Rusli, 21, cukuplah segala kontroversi yang melanda dirinya sebelum ini.

Kini, sampai masanya penyanyi muda kelahiran Hulu Langat, Selangor ini fokus mengukuhkan nama di persada muzik tanah air.

Terbaharu, lagu ciptaannya yang lirik dibuat Ibnu dan Gouffran, Lembah Kesepian berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan.

Menurut pemilik nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli ini, dia berharap semua pihak menghormati dan menerima keputusan juri dengan hati terbuka.

“Saya sedar ada pihak mempersoalkan pemilihan Lembah Kesepian yang dianggap kurang berkualiti tapi berjaya menewaskan lagu dendangan penyanyi hebat lain yang bertanding.

“Saya percaya juri membuat keputusan dengan telus selepas pengiraan markah dan sebagainya,” katanya.

Penyanyi berbakat besar ini juga berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan bakal diingati penonton nanti.

“Saya mahu tampilkan persembahan penuh drama dan impak dengan menyelitkan elemen pengorbanan seorang ayah.

“Saya juga tidak meletakkan harapan untuk menang pada setiap pertandingan.

“Apa yang penting, saya berasa puas dengan persembahan yang ditampilkan nanti.

“Kalah atau menang sudah tertulis dan jika menang di pentas AJL34 nanti, ia bonus,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan pentas akhir AJL34 pula, kata Haqiem, dia belum melakukan apa-apa lagi.

“Saya baru saja pulang daripada umrah dan akan mula buat persiapan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada penganjuran sebelum ini, lagu dendangannya Tergantung Sepi mendapat tempat ketiga pada AJL32.

PERKONGSIAN di IG ketika di Tanah Suci.

Hati tenang melihat Kaabah

Pada 28 November lalu, Haqiem menunaikan umrah bersama keluarganya.

Menurut Haqiem, dia bersyukur kerana ibadat umrah selama 12 hari itu berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat menunaikan umrah pada usia muda.

“Saya berharap ia memberi inspirasi kepada peminat dan golongan muda untuk menunaikan ibadat umrah jika ada kemampuan,” katanya.

Ditanya pengalaman pula, kata Haqiem, dia hanya fokus melakukan ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Hati saya tenang dan bersyukur melihat Kaabah buat kali pertama.

“Terus terang, pengalaman buat ibadat di Madinah dan Makkah sangat indah. Saya dan keluarga selamat kembali ke tanah air, semalam (8 Disember),”katanya.

Beralih perancangan karier seni tahun depan, Haqiem akan muncul dengan single baharu istimewa buat peminat.

“Single itu berjudul Aku, Hati dan Perasaan.

“Selain itu, saya merancang untuk tampil dengan imej baharu,” katanya.

Perkembangan lain, kata Haqiem, dia juga merancang menyambung kontrak dengan pengurusan FMC.

“Saya selesa bernaung di bawah pengurusan FMC kerana mereka buat kerja dengan bagus,” katanya.

Terdahulu, Haqiem turut menjayakan konsert mini di Forest Village Hall pada 4 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:20 AM