IZANI (kanan) bertanya khabar sambil memberi sumbangan barangan makanan kepada Seniah.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Pesakit buah pinggang kronik meluahkan rasa bimbang sekiranya terpaksa meredah arus deras sungai untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan musim tengkujuh belum berakhir.

Seniah Dolah, 49, yang menderita penyakit buah pinggang tahap lima sejak setahun lalu baharu dua minggu dibenarkan pulang ke rumah selepas dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Lebih membimbangkan, untuk bergerak Seniah terpaksa didukung suami, Ahmad Rozlan Abdullah, 51, berikutan komplikasi penyakit itu.

Sebelum disahkan menghidap buah pinggang kronik, Seniah juga menghidap penyakit kencing manis sejak bertahun lalu.

Dia yang ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Renjuna Tenaik di sini, berkata, penduduk di gugusan pulau sepanjang delta Sungai Kelantan berdepan ancaman arus deras dan laut bergelora kerana menggunakan bot sebagai pengangkutan utama.

“Keadaan kesihatan saya semakin merosot dan sekarang pun banyak rawatan susulan perlu dibuat dan memerlukan saya kerap ke hospital.

“Dalam beberapa hari lagi saya perlu hadir ke hospital untuk tarikh temu janji dan berdoa agar cuaca dan keadaan sungai semakin baik,” katanya.

Terdahulu mereka dikunjungi wakil dari pasukan aktivis masyarakat, [email protected] Care, Izani Abdul Kadir, yang turut memberi sumbangan barangan makanan.

Ahmad Rozlan turut meluahkan kebimbangan sekiranya berlaku kecemasan dalam tempoh musim tengkujuh ini kerana terpaksa keluar dengan bot meredah sungai.

“Ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini, air memasuki dapur rumah kami sehingga paras lutut (0.5 meter).

“Jika berlaku kecemasan terhadap isteri atau perlu mendapatkan rawatan dalam tempoh musim tengkujuh ini, mungkin saya terpaksa hubungi pihak berkuasa untuk membantu kami keluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:40 AM