SEBAHAGIAN kawasan hutan di lereng bukit Banjaran Kledang didakwa dimusnahkan dan dieksploitasi.
Shamsul Kamal Amarudin


IPOH: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa kawasan hutan di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Chemor, dimusnahkan dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.

Presidennya Meenakshi Raman berkata, berdasarkan pemerhatian di lapangan kelmarin, seluas kira-kira 20 hektar kawasan hutan ditebang sehingga gondol.

“Kawasan berkenaan adalah bekas sebahagian Hutan Simpan (HS) Kledang Saiong seluas 500.2 hektar berhampiran Chemor dalam Mukim Hulu Kinta, daerah Kinta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Meenakshi berkata, SAM dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mempersoalkan sama ada pelesen kegiatan pengusahasilan atau pembalakan di bekas sebahagian hutan itu ada mengemukakan dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) sebelum memulakan kegiatan yang membabitkan 151.49 hektar itu.

Katanya, SAM dan Kuasa kerap menyuarakan kebimbangan dan menggesa kerajaan negeri tidak lagi memansuhkan sesuatu kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di samping mencadangkan supaya diwarta semula atau diganti tanah lain sebagai HSK tetapi saranan berkenaan tidak diambil perhatian.

Menurutnya, agenda pertama yang dibincangkan ketika pertemuan di antara SAM dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 19 Februari lalu ialah pihak berkuasa negeri tidak harus memansuhkan sesuatu kawasan perlindungan terutama HSK tanpa justifikasi dan keperluan yang munasabah.

“Walaupun pemansuhan sebahagian HS Kledang Saiong seluas 500.2 hektar adalah ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, Menteri Besar selaku Exco bertanggungjawab terhadap portfolio tanah, hutan dan sumber asli, perlu mengambil kira kesannya kepada kesejahteraan alam sekitar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:10 AM