Laporan Harian Metro sebelum ini
Hidayatul Akmal Ahmad

JENAZAH empat sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Kaikoura, New Zealand tidak dikebumikan hari ini, sebaliknya dijadualkan dikebumikan esok.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand Nur Izzah Wong Mee Choo berkata, urusan dokumentasi membabitkan prosedur pengebumian mangsa sedang dilengkapkan oleh koroner dan pihaknya berharap ia dapat diselesaikan seperti dijadualkan.

“Jenazah semua mangsa tidak dapat dikebumikan hari ini berikutan prosedur pengebumiannya masih belum lengkap.

“Namun, urusannya dijangka dapat diselesaikan esok,” katanya ringkas ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Harian Metro difahamkan bahawa jenazah empat sekeluarga itu akan dibawa ke Masjid Al Noor, Christchurch untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di situ.

Difahamkan juga, masjid itu antara lokasi yang sepatutnya dilawati mangsa kemalangan sebelum tragedi berkenaan.

Adanan Jeman, 49, bersama isterinya, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan seorang anak mereka Nur Aleeyah Maisarah, 13, meninggal dunia apabila kereta sewa dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura, 3.10 petang Jumaat waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).

Semalam, seorang lagi anak pasangan itu, Nur Irfan, 15, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital negara itu.

Seorang lagi anak mereka, Nur Arifah Bahiyah, 12, yang kini dirawat di Hospital Wellington dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Berita berkaitan

Empat beranak akan disemadi bersama

  • Seorang lagi meninggal dunia
  • Keluarga mangsa kemalangan tiba di New Zealand
  • Rumihati adalah doktor kami [METROTV]
  • Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch
  • Wisma Putra sah mangsa sekeluarga
  • 3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 3:01 PM