Ustaz Abdul Somad
Mohd Hilmie Hussin

TERSEBARNYA berita perceraian pendakwah terkenal Indonesia Ustaz Abdul Somad, 42, atau turut dikenali panggilan UAS dengan isterinya Mellya Juniarti, 29, menyebabkan sedikit demi sedikit kisah disebaliknya tersingkap.

Kali ini, wanita yang pernah menjadi penyeri hidup pendakwah itu memberi bayangan lebih banyak maklumat berkaitan punca perceraian mereka akan didedah kepada umum.

Menggunakan media sosial, Mellya, membayangkan kegagalan rumah tangga mereka bukan disebabkan kekurangan dirinya tetapi akibat kehadiran orang ketiga.

Menerusi akaun Instagram (IG) Mellya semalam, dua hantaran dibuat wanita itu masing-masing memaparkan ceramah Ustaz Abdul Somad berkaitan nikah sirri (bernikah rahsia dan tidak berdaftar).

Satu lagi hantaran dalam bahasa Inggeris bermaksud: “Hanya beberapa hari saja lagi hal yang lama tertangguh akan menjadi rasmi. Semoga Allah teguhkan ikatan kita, secara rasmi hingga ke syurga.”

Menerusi hantaran pertama iaitu petikan video ceramah yang dikongsi Mellya, Ustaz Abdul Somad dipetik sebagai mengingatkan golongan wanita supaya tidak menerima lelaki melalui pernikahan rahsia.

Dalam ceramah itu, Ustaz Abdul Somad berkata: “Jangan mahu nikah sirri, nanti kalau bercerai, tak bisa menuntut apa-apa kerana tidak ada hitam di putih (tidak ada hitam putih).

“Yang sudah terjadi, apa boleh buat, tahi kambing bulat-bulat. Hanya bisa melapor (membuat aduan) kepada pengadilan agama (mahkamah syariah) untuk dibuat akad baru, supaya ada suratnya. Kalau tak ada suratnya jangan mahu!” kata Ustaz Abdul Somad di majlis yang tidak diketahui lokasi dan waktunya.

Sementara itu, dalam hantaran keduanya di IG, Mellya kongsikan gambar dipercayai Ustaz Abdul Somad bersama wanita yang dinikahinya.

Mellya menggunakan kata-kata yang tidak jelas sebagai kapsyen, namun dipercayai memberi bayangan yang gambar itu ditujukan kepada Ustaz Abdul Somad.

Mellya berkata: “Bismillah, masya-Allah, tabaraka-Allah. Bersabarlah hati, takkan lama lagi. Dua tahun bukan waktu sebentar untuk menanti, dan ucapan tahniah pun mengiringi bertubi dari pencinta sejati, tanpa memikirkan hati yang tersakiti, dia yang terzalimi dibilang provokasi, sekalian saja bilang radikalisasi, ketika hak berbicara pun dilarang setelah ada klarifikasi. Untukmu hati yang berada diseberang negeri.

“Slide kedua kutipan hati di bio seorang yang ingin menjadi permaisuri yang menyalahkan wanita yang tak bisa dididik ini,” katanya.

Sebelum ini, Ustaz Abdul Somad melalui Hassan Basri yang mewakilinya memberitahu, penceramah yang terkenal dengan singkatan UAS itu melakukan pelbagai usaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka termasuk mengasingkan tempat tidur dan tidak tinggal bersama.

Ustaz Abdul Somad mengahwini Mellya pada 20 Oktober 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muzyan Haziq Abdullah.

Hassan dipetik sebagai berkata, Ustaz Abdul Somad tetap meluangkan masa melayani anaknya dan memberi nafkah bulanan kepada Mellya.

Berita berkaitan

Ustaz Abdul Somad, isteri sah bercerai

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:30 PM