MASALAH kulit seperti keratosis seboroik mencacatkan penampilan wajah
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


SEMAKIN meningkat usia, kulit wajah juga akan jadi berusia. Tanda penuaan atau sebarang masalah kulit lain akan mula menampakkan kesannya.

Malah beberapa faktor seperti gaya hidup dan pendedahan terlalu lama pada cahaya matahari yang mengandungi sinaran UV juga mempercepatkan proses penuaan dan pigmentasi.

Bagaimanapun, masalah boleh diatasi sekiranya setiap orang mengetahui keadaan sebenar kulit mereka dan mendapatkan rawatan serta penjagaan yang bersesuaian.

Kedutan, jerawat dan jeragat adalah masalah biasa dihadapi seiring peningkatan usia. Selain itu masalah biji atau ketumbuhan seperti keratosis seboroik (seborhoeic keratosis), biji hitam yang timbul seperti tahi lalat dan tumbuh secara berkelompok juga masalah kulit yang biasa dialami.

SEBELUM dan selepas rawatan dengan menggunakan laser.

Keratosis seboroik selalunya tidak berbahaya dan ia juga tidak membawa kepada barah. Ia tumbuh di permukaan kulit kelihatan semakin banyak dengan pertambahan usia.

Pada peringkat awal, ia berwarna perang dan kurang menonjol, tetapi lama-kelamaan, menjadi lebih besar dan berwarna gelap.

Keratosis seboroik biasanya tumbuh di muka, leher, dada dan bahagian tubuh yang terdedah kepada sinaran matahari, namun ia tidak boleh berubah menjadi barah kulit.

Menurut pakar estetika, Dr Siti Maria Juwaini, keadaan ini biasanya tidak menimbulkan masalah, namun ia mengurangkan keyakinan diri seseorang untuk tampil di khalayak ramai.

Perkara ini tidak hanya dialami wanita, bahkan ada juga lelaki yang kurang selesa dengan keadaan berkenaan. Katanya, ada yang mengambil keputusan tidak mengendahkan keadaan itu sama ada mereka tidak tahu rawatan bersesuaian untuk membuangnya atau berasa ia tidak mengganggu.

"Keratosis seboroik hanya timbul di permukaan kulit seperti jeragat, tidak mencengkam jauh ke dalam kulit dan tak mengandungi virus.

KEADAAN kulit pesakit yang mengalami masalah keratosis seboroik.

Ia juga tidak berjangkit atau bertukar menjadi kanser, oleh itu ia tidak mengancam kesihatan.

"Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kerengsaan atau ketidakselesaan estetika kerana walaupun bersaiz kecil, ia boleh membesar daripada satu milimeter (mm) hingga lima milimeter dan menjadi seperti kutil tergantung," katanya.

Menurut Dr Siti Maria yang juga pengasas Anggun Mediklinik, faktor risiko keratosis seboroik kebiasaannya mula dialami apabila memasuki usia 30-an dan lebih kerap dialami mereka yang berusia 40-an.

Faktor keturunan juga menjadi punca di samping perubahan hormon semasa hamil dan pendedahan berterusan terhadap cahaya matahari.

Keratosis seboroik berbeza daripada jeragat biasa yang lebih berbahaya kerana ia boleh menjadi semakin dalam, pekat dan sukar dirawat.

DR Siti Maria melakukan rawatan laser kepada seorang pesakit.

Selain itu, kos rawatan jeragat biasanya lebih mahal, memerlukan rawatan berkala, mengambil masa lebih lama berbanding merawat keratosis seboroik.

Katanya, tahi lalat juga lebih berbahaya kerana boleh bertukar menjadi kanser sekiranya saiz dan bentuknya berubah atau ia semakin besar dan berlaku pendarahan.

Oleh itu ia memerlukan rawatan pakar dengan segera. Tahi lalat disebabkan oleh pengumpulan tidak normal sel yang mengeluarkan pigmen di kulit yang disebut melanosit.

Tahi lalat biasanya dibuang untuk tujuan kecantikan melalui pembedahan. Antara masalah lain termasuk kulit berjumbai atau 'skin tags' yang tidak berbahaya berwarna perang atau mengikut warna kulit individu.

Ia biasa didapati di leher, ketiak dan kelopak mata. Saiznya berbeza-beza, daripada kurang satu milimeter (mm) kepada 10mm dan beberapa biji kutil ini boleh tumbuh serentak.

Rawatan bagi keratosis seboroik mudah dan tidak merumitkan, iaitu dibuang dengan cara memotong atau menggunakan laser.

Ini dilakukan dengan meletakkan ubat bius di bahagian yang terjejas menggunakan krim khas. Selepas prosedur laser, lukanya kering dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

Bahagian yang dikenakan laser akan bertukar menjadi gelap, tetapi kesan warna kulit ini semakin cerah selepas beberapa minggu.

Dr Siti Maria berkata, selepas rawatan laser, pesakit dinasihatkan mengelak daripada terkena pancaran cahaya matahari selama dua minggu kerana ia boleh memberi kesan parut hitam pada luka. Selain itu, katanya, pemakaian krim tabir suria dan pelembap adalah penting sepanjang tempoh penyembuhan untuk mengelakkan kulit kering dan melambatkan parut pudar.

"Selain itu, digalakkan mendapatkan rawatan segera jika kutil ini mula tumbuh kerana jika dibiarkan lebih lama mungkin ia membesar dan lebih banyak hingga menjejaskan penampilan diri," katanya.

Katanya, rawatan laser juga perlu dibuat dengan juruterapi kecantikan terlatih untuk tujuan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:20 AM