Alias Abd Rani


MERAYU pun sudah, malah bersemuka pun juga sudah tapi malangnya seorang penghantar makanan hilang sumber pendapatan selepas akaunnya disekat gara-gara dituduh meminta RM48 daripada pelanggan, baru-baru ini.

Semuanya bermula apabila Muhammad Fahmi Firman, 21, selesai menghantar makanan segera di rumah pelanggannya di Sri Petaling sebelum menerima panggilan daripada pekerja khidmat pelanggan syarikat penghantar makanan mendakwa mengambil wang daripada pelanggan.

Walaupun dia cuba memaklumkan perkara itu tidak benar, namun pemuda yang bekerja dengan syarikat itu sejak Februari lalu terpaksa reda dengan tindakan majikannya.

Menceritakan perkara itu, Muhammad Fahmi berkata, dia menghantar makanan dipesan pelanggan pada jam 1.30 petang, 3 November lalu sebelum seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an keluar mengambilnya.

Sebaik selesai, Muhammad Fahmi meneruskan perjalanan menghantar pesanan lain dan kira-kira setengah jam kemudian, dia menerima panggilan daripada petugas khidmat pelanggan memaklumkan ada mengambil wang daripada pelanggan terbabit.

“Prosedur ditetapkan syarikat ialah setiap tempahan perlu dibayar sama ada melalui kad kredit, perbankan dalam talian atau e-Wallet.

“Tugas saya hanya menghantar makanan dipesan tapi disebabkan tuduhan itu, saya tidak boleh lagi bekerja dengan syarikat berkenaan.

“Saya terpaksa bersemuka dengan pelanggan untuk meminta penjelasan malah memintanya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sama ada saya meminta atau sebaliknya.

“Tapi malangnya, pelanggan terbabit tidak mengendahkan walaupun memaklumkan berjanji menarik laporan itu, akaun masih disekat membuatkan saya tidak boleh lagi bekerja dengan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, akaunnya disekat secara rasmi keesokan hari menyebabkan dia terpaksa tebal muka menemui pelanggan terbabit pada malam kejadian sambil merayu supaya menarik balik laporan dibuat terhadapnya.

“Saya sudah berapa kali menjelaskan perkara itu namun nasib saya alami tetap sama. Saya pernah memintanya melihat CCTV tapi dia (pelanggan) enggan menurutinya. Sudah puas saya hubungi mereka (khidmat pelanggan) tapi tiada seberang tindakan dibuat.

“Disebabkan tuduhan itu, saya hilang mata pencarian. Itulah satu-satunya kerja saya lakukan untuk tampung perbelanjaan harian,” katanya.

MUHAMMAD Fahmi menemui pelanggan untuk membersihkan rekodnya manakala gambar kecil adalah pesanan dibuat dan sekatan dilakukan majikannya. dan FOTO ihsan Muhammad Fahmi

Berikutan insiden itu, Muhammad Fahmi memuat naik dalam Facebook miliknya untuk menceritakan perkara sebenar.

Luahan itu menarik perhatian netizen yang bersimpati dengannya malah tidak kurang yang sudi menghulur bantuan untuknya.

“Saya tidak tahu apa motif sebenar mereka menuduh saya. Syarikat pula tidak mahu mendengar penjelasan saya,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap syarikat berkenaan, beberapa pertimbangan mendorong kepada pergantungan daripada mengakses perkhidmatan ini yang mana ia disokong data menerusi maklum balas pelanggan, laporan dan kekerapan pelanggaran.

Katanya, bagi mereka melanggar disiplin, pihaknya mengambil tindakan progresif untuk memintanya memperbaiki kelakuan dan tindakan penyekatan adalah jalan terakhir.

“Kami melatih mereka (penghantar makanan dan pemandu e-hailing) menerusi kod tatalaku yang ketat sebelum dibenarkan menyertai platform ini.

“Mereka yang disekat diberi peluang membuat rayuan. Kami juga mengingatkan penghantar atau pelanggan bahawa urus niaga dijalankan tanpa tunai.

“Oleh itu, mereka (penghantar atau pelanggan) tidak boleh menerima atau memberi wang tunai. Kami akan memberi penerangan dan penjelasan terlebih dahulu kepada mereka sebelum tindakan dibuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 8:39 PM