Mohd Fauzi Abdullah


KUALA LUMPUR: Ramai tidak menyedari tugas pegawai parol menuntut komitmen tinggi apabila mereka diamanahkan memantau banduan yang mendapat perintah bagi menjalani baki hukuman di luar penjara atau dalam komuniti dikenali sebagai Orang Diparol (ODP).

Selain bertanggungjawab menghapuskan stigma masyarakat terhadap banduan, pegawai parol boleh dianggap ‘mata-mata’ Jabatan Penjara Malaysia yang berperanan mengawasi pesalah di luar tembok, seterusnya membentuk mereka kembali menjadi ‘manusia’ dan diterima komuniti setempat.

Berkongsi pengalaman itu, Inspektor Penjara, Nur Hasikin Che Mahamad berkata, mengawasi pesalah di luar penjara adalah tugas cukup besar, apatah lagi membabitkan pegawai parol wanita.

Katanya, mereka perlu mengawasi dan memantau pergerakan ODP setiap hari tidak kira lelaki atau wanita.

“Kami bukan saja perlu mengetahui di mana mereka berada malah mengambil berat masalah dihadapi ODP (jika ada) dan cuba menyelesaikannya mengikut keadaan.

“Untuk mengetahui keberadaan ODP setiap hari, kami ada taktik’ tertentu antaranya bertanya kepada ahli keluarga dan orang sekeliling atau majikan bagi yang tinggal di asrama pekerja.

PEGAWAI parol melakukan lawatan ke asrama pekerja yang menempatkan ODP.

“Bagi ODP ditempatkan mengikuti program Corporate Smart Internship (CSI) dalam sektor pekerjaan, kami akan menghubungi majikan setiap hari untuk memastikan mereka hadir ke tempat kerja, begitu juga yang tinggal dengan keluarga.

“Pendek kata tugas memantau ODP adalah 24 jam,” katanya yang lebih 11 tahun berpengalaman mengendalikan ODP.

Penolong Ketua Pegawai Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Cheras itu berkata, tugas pegawai parol sememangnya menuntut dedikasi tinggi bagi memastikan ODP tidak melanggar syarat perintah parol yang dikenakan terhadap mereka dan diterima masyarakat.

Katanya, lawatan mengejut ke tempat kerja, asrama pekerja serta kediaman antara kewajipan yang mesti dilakukan pihaknya paling kurang sekali seminggu.

“Lawatan mengejut biasanya dilakukan sebelah malam kerana kami perlu memastikan ODP berada di rumah atau asrama pekerja dari jam 7 malam hingga 7 pagi.

“Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi tugas ini adalah mesti disertai sekurang-kurangnya tiga orang (pegawai parol) bagi tujuan keselamatan.

“Lawatan ke kediaman terletak di lokasi panas antara cabaran perlu dihadapi kerana kami tidak dibekalkan senjata,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Beliau yang lebih 14 tahun berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia berkata, pegawai parol juga bertanggungjawab menjalankan program intervensi atau pemulihan kepada ODP di Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah masing-masing.

“Program ini dijalankan bagi mempersiapkan ODP sebelum dikembalikan ke dalam komuniti selain mendekatkan mereka dengan masyarakat. Kebiasaannya, kami mendapat kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) atau komuniti setempat dalam setiap program seperti aktiviti gotong-royong dan kerja amal.

“Setiap perkembangan ODP perlu direkodkan bagi mengukur tahap pemulihan mereka,” katanya.

Bercerita lanjut pengalamannya, Nur Hasikin berkata, dia lebih banyak ‘bermain’ dengan psikologi ketika melayan golongan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:50 AM
LAWATAN mengejut ke tempat kerja antara kewajipan yang mesti dilakukan pegawai parol.