FOTO hiasan.


‘NIAT baik’ lelaki mahu memulangkan semula pakaian dalam milik penuntut wanita dicurinya membongkar rahsia kehilangan pakaian di rumah sewa penghuni wanita di taman perumahan dekat Mambau, Seremban, sejak Oktober lalu.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan orang awam ketika menceroboh rumah didiami mangsa kononnya mahu memulangkan semula pakaian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya masih melakukan siasatan motif sebenar suspek melakukan jenayah berkenaan.

“Pada 2 pagi hari ini, kami menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penuntut institusi pengajian awam (IPTA) di daerah ini memaklumkan mengenai kejadian.

“Mangsa menyatakan mendapat tahu seorang lelaki berumur 31 tahun ditangkap orang awam kerana menceroboh masuk ke kawasan rumah sewanya di Mambau pada 12.30 tengah malam tadi.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu sebelum ini pernah mencuri beberapa pakaian dalam milik mangsa dan ingin memulangkannya semula.

“Tujuannya mencuri pakaian belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 13 Disember untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang sudah berkahwin dan bekerja di pelantar luar pesisir pantai itu adalah negatif.

“Suspek mengaku mencuri pakaian dalam wanita di taman perumahan terbabit beberapa kali sejak Oktober lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 4:01 PM