Redzuan Muharam


HANYA beberapa saat saja memisahkan Muhammad Saiful Rusdy Rozlan dengan maut selepas dahan pokok menghempap sebelum menembusi cermin hadapan Proton Iriz dipandunya di Jalan Kulim- Serdang, Kedah Isnin lalu.

Selain terselamat daripada maut, Muhammad Saiful juga bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan akibat insiden itu.

Pengalaman berdepan dengan insiden mengerikan itu dikongsikan pemuda berusia 27 tahun itu menerusi hantaran di Facebook miliknya pada hari sama kejadian, kelmarin.

Menerusi hantaran itu, Muhammad Saiful meluahkan rasa syukurnya kerana terselamat dalam insiden itu dan menganggap peristiwa itu malang tidak berbau.

Bercerita lanjut, Muhammad Saiful berkata, kejadian berlaku pada 8 pagi ketika dia dalam perjalanan dari rumah mentuanya di Kampung Badlishah, Serdang ke tempat kerja di Lunas, Kulim.

Katanya, pada waktu itu, dia berseorangan dan tidak sangka dirinya menjadi mangsa kerana sudah biasa memandu di kawasan itu.

“Saya kerap memandu di kawasan itu terutama ketika berulang alik dari rumah di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke rumah mentua.

“Malah dua hari sebelum kejadian saya turut melalui kawasan berkenaan cuma nasib tidak menyebelahi saya apabila menjadi mangsa selepas dahan itu tiba-tiba jatuh menghempap kereta ketika memandu di situ.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan dialami tetapi berasa seperti mendapat peluang kedua untuk hidup kerana nyaris maut atau cedera serius akibat insiden itu.

“Ini kerana kedudukan dahan pokok yang menembusi cermin kereta terlalu dekat dengan pipi serta tangan kiri saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dahan yang menembusi cermin hadapan kereta Muhammad Saiful. FOTO Ihsan Muhammad Saiful Rusdy Rozlan

Muhammad Saiful berkata, niatnya berkongsi kisah itu di Facebook bukan untuk menyalahkan sesiapa tetapi sekadar berkongsi pengalaman dilaluinya.

Meskipun masih trauma, Muhammad Saiful bersyukur terselamat dan menganggap apa yang berlaku sebagai peringatan untuknya supaya sentiasa mengingati kematian yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Sebelum insiden itu, saya tidak pernah mendengar rungutan penduduk mengenai masalah dahan uzur di kawasan berkenaan.

“Namun selepas berkongsi kisah itu di Facebook, ada individu meninggalkan komen mendakwa pernah membuat aduan mengenainya tetapi tiada tindakan diambil.

“Diharap, pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya kejadian sama tidak berulang kerana selain jalan berlubang dan masalah tebing runtuh, pemeriksaan pokok berhampiran jalan juga perlu dilakukan dengan kerap.

“Jalan itu adalah laluan pintas yang menjadi alternatif ramai pemandu dari dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 7:54 PM
Keadaan kereta Muhammad Saiful selepas dahanmenembusi cermin hadapan keretanya. FOTO Ihsan Muhammad Saiful Rusdy Rozlan