ZAKARIA (tengah) menderma darah kali ke-200 sambil diperhatikan Dr Azhani (kanan) di Unit Tabung Darah (UTD) HSNZ, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Terengganu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penderma darah tertinggi di negeri ini.

Lans Koperal Zakaria Omar, 44, dari Kampung Baru Tetambah, Kuala Terengganu, menderma darah untuk kali ke-200 hari ini. sekali gus menjadi penderma darah tertinggi direkodkan Unit Tabung Darah (UTD) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Zakaria berkata, dia mula menderma darah sejak 1995 selepas mengikuti rakannya ke program derma darah ketika bekerja di Kuala Lumpur sebelum ia menjadi amalan rutinnya.

“Dalam setahun, saya akan menderma darah sebanyak empat kali iaitu dalam tempoh tiga bulan sekali sama ada pada program derma darah dianjurkan pihak tertentu atau ke UTD HSNZ.

“Amalan menderma darah sudah sebati dengan kehidupan saya kerana ia bukan hanya baik untuk kesihatan, malah memberi kepuasan apabila dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di UTD HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr Azhani Azmin.

Zakaria berkata, jika dibenarkan menderma darah setiap bulan, dia akan berbuat demikian dan berharap umurnya panjang supaya berpeluang menderma darah dengan lebih banyak pada masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya sebelum saya meninggal dunia, hati teringin untuk menderma darah sebanyak 300 kali,” katanya yang turut menerima Sijil Penghargaan Penderma Tertinggi di UTD HSNZ.

Sementara itu, Dr Azhani berkata, seramai 150 penderma tegar yang menderma darah di UTD HSNZ pada setiap bulan dengan purata kedatangan penderma di UTD pada setiap hari seramai 10 hingga 15 orang.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 30 penderma datang ke UTD untuk menderma darah pada setiap hari pada tahun hadapan.

Katanya, pelbagai program dianjurkan dari semasa ke masa bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menderma darah.

“Kami baharu sahaja menubuhkan Kelab Penderma Darah HSNZ dan ia disertai seramai 400 ahli.

“Kami berhasrat untuk melahirkan lebih ramai penderma darah tegar seterusnya menampung keperluan darah di UTD yang semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:12 PM