Siti Nafidzah berpelukan dengan Joshua. FOTO Ihsan Siti Nafidzah Muslim
Redzuan Muharam


MESKIPUN tiada pertalian darah dan berbeza agama, Siti Nafidzah Muslim mengambil berat dengan kebajikan kanak-kanak penjual tisu dikenali Joshua.

Malah Siti Nafidzah yang juga pengusaha restoran sudah menganggap Joshua seperti anaknya sendiri walaupun baru mengenali kanak-kanak itu dua bulan lalu.

Ibu dua anak itu berkongsi kisahnya dengan Joshua menerusi hantaran di Facebook miliknya kelmarin.

Menerusi hantaran itu, Siti Nafidzah berkongsi kegembiraannya kerana dapat bertemu semula dengan Joshua selepas sekian lama kanak-kanak itu tidak datang ke restorannya.

Perkongsian dimuat naik itu mendapat perhatian warganet dengan kebanyakannya tersentuh dan memuji sikap prihatin Siti Nafidzah.

Bercerita lanjut, Siti Nafidzah berkata, dia mula menyedari kehadiran Joshua sejak melihat kanak-kanak itu kerap datang menjual tisu di restorannya yang terletak di Masjid Tanah, Melaka.

“Mulanya, saya sekadar memerhatikan Joshua bergerak dari meja ke meja untuk menjual tisu di restoran saya.

“Saya tiada masalah jika dia mahu menjual tisu tetapi pernah memarahinya kerana menyakat salah seorang kakitangan saya ketika sedang bekerja.

“Selepas insiden itu (dimarahi), dia tidak datang ke restoran dan saya rasa bersalah juga kerana memarahinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Siti Nafidzah, selepas tiga minggu, Joshua kembali ke restorannya dengan wajah tidak bermaya.

“Saya sangka dia terasa hati kerana saya memarahinya rupanya Joshua tidak singgah ke restoran kerana kurang sihat.

“Lega dan gembira sangat kerana dapat bertemu semula dengannya kerana sepanjang Joshua menghilang, saya bukan saja rasa bersalah tetapi rindu mengenangkan gelagatnya walaupun tiada ikatan kekeluargaan antara kami,” katanya yang menetap di Alor Gajah, Melaka.

Siti Nafidzah berkata, tujuannya berkongsi kisahnya dengan Joshua di Facebook bukan untuk meraih perhatian sesiapa sebaliknya sekadar mahu berkongsi pengalamannya.

“Ada yang menghantar kiriman mesej kepada saya bertanya mengapa membantu Joshua dan bukannya orang lain.

“Tidak kurang juga menyangka perkongsian kisah itu dilakukan dengan tujuan mempromosi restoran saya.

“Hakikatnya, saya membantu Joshua dan suka menjamunya makan di restoran kerana simpati selepas mengetahui latar belakangnya.

“Terpulang jika ada beranggapan negatif kerana apa yang penting, Joshua budak baik dan bekerja bagi membantu keluarga.

“Sekalipun susah, dia tidak pernah memaksa mana-mana pelanggan saya untuk membeli sebaliknya dia tetap memberi tisu walaupun tiada bayaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 10:15 PM