AKSI Donnie Yen Ip Man 4: The Finale
Syafil Syazwan Jefri


BAGI peminat dan pengikut filem aksi yang menjadikan seni mempertahankan diri, wing chun sebagai tunjang utama, tentunya rangkaian filem Ip Man lakonan Donnie Yen bukanlah asing.

Kini, filem yang mula ditayangkan pada 2008 itu hadir dengan pelengkap keempat yang juga filem terakhir dalam francais Ip Man.

Bagi mempromosikan filem Ip Man 4: The Finale itu, Donnie hadir ke Kuala Lumpur dan menggunakan peluang yang ada untuk bertemu media serta peminat.

Donnie ketika ditemui berkata, selama hampir 12 tahun memegang watak sebagai ‘tok guru’ kepada Bruce Lee itu, dia berpeluang bertemu ramai peminat daripada pelbagai latar belakang.

“Tahun lalu, saya pernah ke Kenya dan bertemu satu etnik yang memang tak ada pendedahan kepada teknologi seperti TV dan sebagainya.

“Mereka hidup secara tradisional. Namun, apabila saya bertandang ke sana, mereka kenal saya menerusi watak Ip Man itu sendiri. Ia pengalaman yang tak dapat dilupakan kerana berpeluang berbicara dengan mereka,” katanya.

Berbicara mengenai filem arahan Wilson Yip itu, Donnie meluahkan rasa puas hatinya kerana dapat memberikan satu pengakhiran yang sempurna.

“Ada satu sudut dalam hati saya berasa sangat puas dan kalau boleh, ingin watak ini terus kekal dalam hati peminat. Saya bersyukur kerana diberi peluang menjadi Ip Man selama hampir 12 tahun. Saya ingin berikan pengakhiran yang sempurna dan itu yang dapat dilihat dalam filem ini,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan watak Ip Man dalam filem keempat ini, Donnie memaklumkan dia masih mengekalkan perwatakan sama.

“Sejak hari pertama melangkah sebagai watak ini, saya tak buat sebarang perubahan. Yang berubah adalah jalan cerita, cabaran dihadapi oleh Ip Man dan bagaimana dia menyelesaikan pelbagai isu yang timbul.

“Saya rasa peminat jatuh cinta dengan watak itu kerana diri dan keperibadiannya. Selepas beberapa tahun menelusuri ‘pengembaraan’ bersama watak ini, banyak rasa dan emosi yang dimasukkan ke dalamnya,” katanya.

Donnie juga menegaskan kenyataannya sebelum ini untuk mengundur diri daripada membintangi filem aksi kung fu bukanlah sekadar strategi pemasaran semata-mata.

“Ia bukan strategi pemasaran untuk mempromosikan Ip Man 4: The Finale atau untuk saya mencuri perhatian. Ia memang benar. Namun, saya tegaskan saya tidak akan berlakon dalam filem kung fu, namun masih akan berlakon dalam filem bergenre aksi,” katanya.

Menurut Donnie, filem aksi dan kung fu adalah dua perkara berbeza.

“Kung fu adalah filem aksi, namun perlu difahami filem aksi bukanlah filem kung fu. Filem aksi boleh menjadi filem komedi, sains fiksyen, perang dan sebagainya.

“Namun, kung fu berbeza kerana mengangkat mengenai budaya unik dan artistik. Kita hanya akan melihat orang Cina yang melakukan kung fu dan takkan pernah melihat orang Caucasian melakukan seni bela diri ini,” katanya.

Katanya, filem kung fu juga memerlukan kepakaran yang tak semua orang ada.

“Selain perbelanjaan, filem kung fu juga memerlukan skil dan kepakaran daripada pelbagai sudut. Contohnya, saya pernah berlakon dalam filem Once Upon A Time in China bersama Jet Li. Untuk memastikan gerakan kung fu dalam filem itu nampak cantik di layar, ia memerlukan kepakaran dua orang yang tahu mengenai selok-belok kung fu,” katanya.

Secara ringkasnya, Ip Man 4: The Finale mengisahkan mengenai perjuangan komuniti Cina menetap di Amerika Syarikat dan berdepan situasi perkauman yang meruncing dengan penduduk tempatan.

Selain Donnie, seorang lagi pelakon filem ini ke Malaysia adalah Danny Chan yang memegang peranan sebagai Bruce Lee, penerbit Raymond Wong dan penulis skrip Edmond Wong.

Filem ini juga dibintangi Vanness Wu, Wu Yue dan Scott Adkins dan akan mula ditayangkan pada 20 Disember ini di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:20 AM