TIMMY butir emas acara perseorangan lelaki.v
Iskandar Shah Mohamed


KUALA LUMPUR: Biarpun gagal menepati sasaran pungutan pingat emas pada Sukan Sea Filipina, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) tidak mahu terlalu panik dan menyifatkan kem kebangsaan masih kuasa terkuat di rantau ini.

Reputasi skuad boling di temasya dwitahunan itu tercalar apabila hanya membawa pulang dua emas, tiga perak dan dua gangsa selain gagal mempertahankan gelaran juara keseluruhan acara berkenaan.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok yang mengakui kegagalan itu menegaskan semua atlet sudah mempamerkan persembahan terbaik untuk meraih sebanyak mungkin pingat buat kontinjen negara.

“Semua pemain kita sememangnya dilihat berjuang berhabis-habisan untuk memungut jumlah jatuhan pin yang tinggi namun malangnya mereka tewas kepada lawan pada saat akhir.

“Namun, saya akui kami gagal mencapai sasaran empat emas yang ditetapkan dan menganggap lawan seperti Singapura serta Indonesia semakin memberi cabaran sengit kepada pasukan kita,” katanya.

Maradona berkata, beliau masih berpuas hati dengan pencapaian skuad kebangsaan dan menganggap temasya kali ini tidak menyebelahi pihaknya.

“Kami tidak panik kerana Malaysia masih pasukan yang kuat dan kita juga mempunyai pemain pelapis untuk meneruskan cabaran di pentas antarabangsa,” katanya.

Pada edisi Filipina kali ini, tuan rumah hanya menyenaraikan sembilan acara di Coronado Lanes, Starmall EDSA, Manila dan emas pertama negara diraih Timmy Tan bagi acara perseorangan lelaki.

Skuad boling lelaki kemudian merampas emas Sukan Sea daripada pasukan Singapura dalam acara berpasukan yang turut disertai juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail.

Pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, kem boling menyumbang tujuh daripada 11 emas yang dipertandingkan selain empat perak dan tiga gangsa.

Sementara itu, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) akur dengan kegagalan kem kebangsaan mencapai sasaran empat emas pada Sukan Sea Filipina dan akan segera menjalankan bedah siasat terperinci.

Pengurusnya, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan mengakui perkara itu dan kecewa dengan pencapaian skuad pelayaran yang hanya mampu membawa pulang dua perak dan enam gangsa buat kontinjen negara.

“Selain logistik, segala persiapan atlet terutama aspek fizikal dan mental sememangnya berjalan lancar sebelum acara temasya dwitahunan berkenaan berlangsung.

“Namun, beberapa faktor mungkin menjadi halangan pada saat akhir antaranya berkaitan perubahan jadual acara dan perkara lain. Ia bagaimanapun akan diperincikan menerusi perbincangan dan post mortem bersama semua pengurusan MSA nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Cabaran Malaysia di Filipina digalas seramai 19 atlet termasuk dua sandaran utama yang juga Olimpian negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif.

Skuad pelayaran meraih dua perak antaranya menerusi gandingan Muhammad Fauzi Kaman Shah-Umar Al Farouk dalam acara International 420 selain enam gangsa bagi keseluruhan 12 acara yang disertai mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:30 AM