Muhaamad Hafis Nawawi


KUALA LUMPUR: Mereka akan mencari premis yang diiklankan ejen hartanah di laman sesawang di negara ini untuk dijadikan lokasi pusat panggilan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Itu modus operandi sindiket didalangi warga China terbabit sebelum mereka bertapak dan menjalankan operasi.

Malah, mereka sanggup membayar berkali ganda sewa dikenakan ejen dan pemilik hartanah sekiranya lokasi itu difikirkan sesuai tanpa sebarang gangguan pihak berkuasa.

Menurut sumber, kebiasaannya sindiket akan memilih kediaman mewah yang lengkap dengan pengawal keselamatan dan sukar dimasuki orang luar bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Selepas melihat ciri-ciri rumah yang mahu di laman sesawang itu, mereka kemudian akan berhubung dengan ejen hartanah terbabit untuk proses menyewa kediaman.

“Malah, sindiket ini sanggup menyewa pada harga mahal sehingga ada mencecah RM20,000 sebulan untuk menempatkan rakyat China yang diupah untuk bekerja dengan sindiket perjudian dalam talian ini,” katanya.

Sumber berkata, sebaik pemilik bersetuju mereka akan terus tinggal di rumah berkenaan dengan semua kemudahan dan kelengkapan bagi menjalankan kegiatan haram itu disusun rapi.

“Malah, sindiket ini turut akan membawa tukang masak sendiri supaya pergerakan mereka yang terdiri warga China tidak diragui penduduk di kawasan perumahan itu.

“Mereka hanya akan mengikut skrip yang diberikan ketika berurusan dengan rakyat China di negara mereka yang ingin berjudi,” katanya.

Katanya, sindiket berkenaan sering berpindah lokasi termasuk datang ke Malaysia untuk menjalankan kegiatan haram itu selepas Macau dan Filipina membuat saringan ketat terhadap warga China yang mahu memasuki negara berkenaan.

“Peraturan ketat untuk masuk ke negara terbabit bagi menjalankan kegiatan itu menyebabkan sindiket ini mencari negara lain termasuk Malaysia yang mudah masuk menggunakan pas pelancong.

“Pihak berkuasa negara terbabit melarang kemasukan mereka kerana banyak kes penipuan dan judi dalam talian berlaku di sana,” katanya.

Sumber berkata, walaupun ketua sindiket yang kini menjalani hukuman penjara di China, namun kegiatan perjudian dalam talian itu diteruskan ‘orang kanan’ yang memantau operasi dari sana.

“Kegiatan mereka tidak lumpuh sebaliknya diambil alih orang kanan yang turut mengupah rakyat mereka dan dihantar ke negara ini untuk menjalankan aktiviti haram itu.

“Malah, mereka ada strategi dan setiap rakyatnya yang diambil bekerja akan dihantar ke Malaysia menggunakan pas pelancong secara berkumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 6:01 AM