Nurul Hidayah Bahaudin


PENJAWAT awam lelaki ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku 4.50 petang itu turut dirakam seorang lelaki yang juga penghantar makanan berusia 20 tahun.

“Menurut keterangan saksi perakam video, pemandu kereta Perodua Myvi berusia 25 tahun berkenaan menolak keluar seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dari kereta melalui pintu depan kiri.

“Saksi kemudian mengejar pemandu berkenaan untuk mengarahkannya memberhentikan kenderaan, namun lelaki terbabit terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, ketika melarikan diri, lelaki itu melanggar beberapa kenderaan lain di sepanjang Jalan Pudu.

“Lelaki berkenaan kemudian ditahan oleh orang awam di Jalan Brunei Utara, 5.20 petang sebelum dibawa anggota kereta unit peronda (MPV) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Tiada pemandu kenderaan lain yang cedera dalam kemalangan ini dan pihak IPD Dang Wangi sedang menyiasat kejadian sebenar menyebabkan lelaki OKU berkenaan ditolak dari kereta itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi kira-kira satu minit yang menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru dikejar penunggang motosikal ketika dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar beberapa kenderaan di Jalan Pudu, di sini, tular di media sosial sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 8:57 AM
RAKAMAN video menunjukkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru dikejar penunggang motosikal ketika dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar beberapa kenderaan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, tular di media sosial sejak semalam. FOTO Tular