PENYANYI Hady Mirza menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim keenam 2019.
Sudirman Mohd Tahir


NAMA Hady Mirza kembali meniti di bibir peminat saat membuat kemunculan semula dengan menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Melangkah ke peringkat separuh akhir malam ini membuktikan Hady, 39, atau nama sebenarnya Muhammad Mirzahady Amir antara peserta yang diramal bakal mara ke peringkat akhir.

Malah, berdasarkan persembahan hebat yang ditunjukkan setiap minggu, nama Hady yang juga juara Asian Idol itu disebut-sebut bakal bergelar juara.

Menariknya, Hady menjadi antara peserta yang berjaya menonjolkan sisi berbeza nyanyian dan persembahan berbanding dirinya 13 tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua yang menyokong.

“Setiap minggu saya cuba berikan persembahan terbaik.

“Saya tak pernah fikir mahu berada di kedudukan teratas setiap minggu.

“Dalam pertandingan ini saya ibaratkan seperti membuat persembahan.

“Malah, untuk bergelar juara juga bukan misi utama saya. Jika memang itu rezeki, saya bersyukur.

“Andai sebaliknya, saya tetap bersyukur kerana apa yang paling penting keberadaan saya dalam pertandingan ini sudah cukup membuktikan sisi berbeza saya.

“Pertandingan yang pernah disertai dahulu jauh berbeza dengan GV6.

“Pertandingan ini memerlukan kreativiti dalam persembahan kerana orang ingin melihat kemampuan sebenar kita.

“Apa yang dipersembahkan, itulah saya,” katanya.

Mengenai persaingan terdekat dengan Naqiu seperti yang diuar-uarkan juri profesional Hetty Koes Endang, Hady berkata, dia tidak terfikir perkara itu.

Menut Hady, dia menyifatkan semua peserta terbaik dan sesiapa saja boleh memberi saingan.

“Jika itu kata juri, nak buat macam mana. Cuma, kalau tanya saya secara peribadi, Naqiu penyanyi yang bagus.

“Dia memiliki bakat dan vokal tersendiri. Apapun, kita jika bercakap soal pertandingan, bagi saya semua peserta cuba berikan yang terbaik.

“Jadi, saya anggap sesiapa saja yang masih kekal dan bakal melangkah ke peringkat akhir, mereka juga pesaing.

“Saya tidak pernah berasakan diri sudah bagus untuk berada di tahap sekarang. Masih banyak perlu saya pelajari.

“Apabila saya kembali dalam program ini, ia permulaan untuk saya menerokai banyak perkara dalam muzik.

“Bahkan, i

ni kesempatan terbaik untuk saya menonjolkan bakat bagi yang baru mengenali diri ini,” katanya.

Kembali popular

Seperkara yang paling ketara berlaku dalam hidupnya sejak menyertai GV6 adalah, Hady tidak saja kembali popular tetapi jumlah pengikut di Instagram juga kian bertambah.

“Bagi saya, terpilih menyertai GV adalah rezeki yang sangat besar.

“Saya pernah menonton program ini dan amat gembira apabila terpilih. Sebenarnya, ketika dihubungi untuk uji bakat rasa seakan tak percaya.

“Apabila diberitahu saya layak, saya rasa sangat bersyukur. Tak sangka dapat masuk GV.

“Bagi saya ia permulaan yang positif. Ketika bertanding dalam GV, saya fokus hanya untuk minggu itu dan tak memikirkan apa yang akan berlaku pada minggu seterusnya.

“Saya juga bersyukur kerana mendapat sokongan isteri, Nur Jannah yang sering menemani saya sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Berkongsi mengenai rakan duet, Dia Fadila pada minggu separuh akhir ini, Hady menyifatkan Dia penyanyi yang bagus.

“Produksi ada tiga nama dan saya pilih Dia. Selain guru vokal dia juga pernah terbabit dalam GV sebelum ini. Bagi saya, Dia ada suara yang bagus.

“Kami tidak pernah bekerjasama sebelum ini dan tidak sabar untuk menyanyi dengannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 5:05 AM