SURAU Sidratul Muntaha masih digunakan walaupun kayunya sudah terbakar.


WALAUPUN struktur kayunya hitam akibat kebakaran, sebuah pondok surau di Jalan Telok Gong, di sini sentiasa menjadi tarikan ramai.

Surau yang diberi nama Sidratul Muntaha yang terletak di Jalan Telok Gong bersebelahan Gerai Pak Lang ini menjadi tumpuan pelanggan yang singgah di situ.

Pemilik gerai, Rosli Abdullah Aziz, 51, berkata, surau yang berusia hampir 15 tahun pada mulanya dibina melalui hasil kutipan wang bersama rakan-rakannya yang selalu melepak di gerai makannya itu.

Dia berkata, idea untuk membina pondok itu berikutan pelanggannya yang terdiri daripada pemandu lori sukar untuk solat berikutan masjid terletak sedikit jauh.

“Jadi saya kumpul duit dengan rakan-rakan untuk bina pondok surau supaya mereka boleh singgah solat di sini.

“Namun, pada dua tahun lalu surau ini terbabit dalam kejadian kebakaran. Ketika kejadian berlaku, saya melakukan pembakaran untuk menghasilkan asap bagi menghalau serangga terutamanya nyamuk berikutan ia terletak bersebelahan dengan pokok kayu bakau.

“Selepas bakar saya terus pergi ke kebun. Namun, apabila balik saja dari kebun, saya lihat pondok itu sudah terbakar dan orang ramai sedang membantu untuk memadamkan api sementara menunggu bomba sampai,” katanya.

Walaupun reda dengan kejadian itu, Rosli Abdullah berkata, dia tidak menyangka yang surau itu masih berdiri teguh walaupun melihat api membakar seluruh struktur pondok itu.

Dia kemudiannya, duduk berbincang bersama rakannya yang lain dan bersetuju untuk mengumpulkan duit bagi membaiki pondok itu.

“Memandangkan strukturnya masih utuh kami fikir ia tidak perlu dibaiki sepenuhnya. Cuma baiki mana yang perlu dan mencantikkan lagi surau ini terbabit.

MASIH teguh selepas kebakaran.

“Kayu yang hitam akibat terbakar itu menjadikan surau ini unik seterusnya menjadi tarikan siapa saja yang singgah di gerai ini.

“Ramai orang yang datang ke sini ambil peluang solat di sini dan tangkap gambar kerana mempunyai keunikannya tersendiri,” katanya yang turut menjelaskan surau terbabit boleh memuatkan sehingga 15 orang dalam satu masa.

Dalam pada itu, Rosli Abdullah berkata, sekiranya ada kesempatan dia dan juga rakan-rakannya akan membuat majlis bacaan Yasin serta tahlil di situ.

Menariknya lagi, Rosli Abdullah juga mempunyai kelebihan mengukir kayu dengan kalimah al-Quran seterusnya menghias dalam surau berkenaan dengan hasil kerjanya sendiri.

Dia berkata, surau berkenaan sentiasa terbuka kepada orang ramai terutama pemandu lori yang lalu lalang di sini.

“Kedai saya buka hanya pagi hingga petang saja. Bila malam saya akan buka lampu untuk memudahkan orang yang mahu solat di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:35 AM