ALI (dua dari kiri) bersama anggota XPDC lain (dari kiri) Lola, Eddie dan Izo.
Oleh Georgie Joseph


PENYANYI XPDC, Ali berazam menjadikan pentas persembahan untuk menyampaikan dakwah serta memikul tanggungjawab berbuat kebaikan.

Ali atau nama penuhnya Mohd Ali Ismail, 51, juga menganggap kaedah sebegitu satu saluran tepat terutama buat XPDC yang sudah biasa menjayakan pelbagai acara muzikal.

“Tawaran beginilah yang kami inginkan sebenarnya kerana pada acara itu kami boleh berjumpa golongan sesuai untuk disampaikan dakwah. Kalau pergi masjid mungkin orang yang baik-baik tapi di situ mungkin jumpa orang lebih baik.

“Jadi kami mahu serap dan menyampaikan dakwah kepada mereka. Ini kaedah yang kita anggap sebagai titik tepat untuk berbuat demikian. Sambil berhibur, kita berdakwah,” katanya.

Ali berkata, acara sedemikian juga sesuai menyasarkan kepada semua golongan, baik lelaki atau perempuan dalam misi menyampaikan dakwah.

“Inilah masa untuk selitkan dakwah. Kalau bukan kami yang pergi, siapa lagi? Amat mustahil kalau orang masjid yang akan pergi. Golongan seperti kami yang sudah biasa ke tempat sebegitu.

“Kerisauan kami adalah siapa yang nak bagi nasihat menyampaikan dakwah kepada mereka? Bukan nak kata kami bagus, kami pikul ini sebagai tanggungjawab,” katanya.

Mac tahun depan, XPDC bersama penyanyi dan band rock lain akan menjayakan Rockaway 2020 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert itu sempena ulang tahun ke-10 acara itu yang menyatukan komuniti rock tempatan.

Selain XPDC, artis solo dan kumpulan yang akan membuat persembahan pada Rockaway 2020 adalah Datuk M Nasir, Hujan, Kugiran Masdo, Project E.A.R dan Toko Kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:20 AM