PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa yang dibuka kepada orang ramai, semalam.
Rosyahaida Abdullah


KUALA LUMPUR: Hari pertama pembukaan semula Taman Tasik Titiwangsa di sini, semalam menyaksikan ribuan pengunjung memanfaatkan cuti hujung minggu mereka untuk beriadah di taman awam itu seawal ia dibuka jam 6 pagi.

Selain riadah pagi seperti joging dan bersenam, rata-rata pengunjung khususnya berkeluarga turut meluangkan masa di taman permainan air yang juga antara tarikan terbaru di situ.

Kakitangan swasta, Nadia Rosli, 38, berkata, dia dan suami sejak beberapa minggu lalu merancang mengunjungi taman awam itu sebaik mengetahui melalui rakan ia akan dibuka semalam.

“Saya dan suami keluar rumah di Hulu Langat dan datang ke sini sebelum jam 8 pagi dan apabila sampai, tempat letak kereta hampir penuh.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan berharap akan ada taman begini di kawasan Hulu Langat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Chew Han Min, 43, berkata, berbanding sebelum ini, semua kemudahan kini baginya jauh lebih baik, kemas dan cantik dengan anggaran lebih 80 peratus kemudahan termasuk laluan pejalan kaki adalah baru.

“Pada saya kini tumpuan pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin bagi memastikan pemantauan dan penyelenggaraan dilaksanakan dengan baik supaya semua kemudahan terjaga dan tidak memudaratkan pengguna.

“Mungkin juga ada beberapa aspek yang boleh PBT manfaatkan sepenuhnya seperti memperbanyakkan tanaman serta mewujudkan aktiviti air membabitkan tasik,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kerja naik taraf Taman Tasik Titiwangsa masih berbaki kira-kira lima peratus membabitkan pemasangan pagar dan kerja sampingan lain.

“Secara asasnya kerja naik taraf belum lagi selesai namun memikirkan cuti sekolah dengan beberapa kemudahan juga sudah sedia untuk digunakan orang ramai, kita buka pada hari ini secara tidak rasmi.

“Setakat ini, ramai pengunjung menyatakan kepuasan hati mereka namun ada juga aduan kecil malah saya sendiri dapati keperluan untuk menambah baik beberapa perkara seperti tandas dan sebagainya.

“Kita jangkakan kerja ini siap sepenuhnya bulan depan dan perasmiannya akan dibuat selepas itu,” katanya.

Taman awam berkenaan ditutup bermula 1 September tahun lalu untuk kerja naik taraf selain sebahagian pelaksanaan projek Sungai Nadi Kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 5:50 AM