FOTO HIASAN
Muhammad Apendy Issahak


BAYI perempuan lapan bulan maut akibat lemas selepas terjatuh dari katil dan termasuk ke dalam bakul sampah di rumah pengasuhnya di Taman Pasir Pinji di Ipoh, kelmarin.

Bayi berkenaan disedari terjatuh dari katil pada 6.15 petang pengasuhnya yang berusia 24 tahun di dalam bilik dengan kepala berada di dalam tong sampah yang berada di tepi katil.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis menerima laporan mengenai kematian bayi berkenaan pada 8 malam hari kejadian daripada sebuah hospital swasta.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi berkenaan dihantar oleh bapanya sejak berusia 30 hari dan dijaga oleh dua beranak berusia 45 dan 24 tahun.

“Kedua-dua pengasuh wanita itu tidak mengenali siapa ibu bayi berkenaan dan hanya bapa bayi sahaja yang melawat mangsa sepanjang tinggal bersama pengasuh terbabit iaitu lebih kurang empat kali sebulan.

“Pengasuhnya yang berusia 45 tahun bekerja pada hari kejadian dan sepanjang dia pertama bekerja, bayi berkenaan dijaga oleh anak perempuannya yang berusia 24 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa baru pandai merangkak dan pada hari kejadian pengasuhnya yang berusia 24 tahun itu menidurkannya di atas katil dalam bilik dengan meletakkan bantal sebagai benteng.

“Bayi itu ditinggalkan tidur di atas katil dengan dikelilingi bantal tinggi pada 5 petang dan 30 minit kemudian pengasuhnya ada menjenguk di bilik dan dapati mangsa masih tidur dalam keadaan baik.

“Kali kedua pada 6.15 petang, pengasuhnya ada menjenguk lagi di dalam bilik yang sama dan dapati mangsa jatuh di bawah di mana kepala berada di dalam tong sampah yang berada di tepi katil di mana tiada sebarang bunyi menangis sebelum kejadian berlaku,” katanya.

A Asmadi berkata, semasa kejadian hanya pengasuhnya itu sahaja berada di rumah.

“Hasil pemeriksaan bedah siasat dapati sebab kematian adalah kerana ‘asphyxza’ iaitu kelemasan.

“Bayi itu tertonggeng masuk ke dalam tong sampah dan darah terkumpul di paru-paru menyebabkan jantung tidak dapat berfungsi,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan juga tidak menemui sebarang kesan penderaan atau kesan lain pada tubuh mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pengasuhnya kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 10:58 AM