OTHMAN melayan pelanggan yang ingin membuat surat. FOTO Sharul Hafiz Zam
OTHMAN melayan pelanggan yang ingin membuat surat. FOTO Sharul Hafiz Zam
Mohd Rizal Abdullah

PENGALAMANNYA bertugas di Dewan Perniagaan Melayu Kedah selain pernah menjadi kontraktor menjadikannya tempat rujukan menulis surat terutama dalam penulisan kertas kerja sejak 41 tahun lalu.

Itulah Othman Aroff, 63, penulis surat berlesen yang dahulunya dikenali sebagai penulis ‘surat teriak’ di Bangunan Yayasan Islam Kedah, Jalan Istana Lama, Alor Setar.

Dikenali sebagai Pak Man, bapa kepada lapan anak dan 18 cucu ini antara individu yang masih bertahan dalam bidang penulisan surat meskipun semakin dimamah usia.

Othman berkata, meskipun tidak memberi pendapatan lumayan, dia berasa puas membantu masyarakat menyiapkan dokumen yang diperlukan setiap pelanggan.

PEJABAT Othman di Bangunan Yayasan Islam Kedah, Jalan Istana Lama. FOTO Sharul Hafiz Zam
PEJABAT Othman di Bangunan Yayasan Islam Kedah, Jalan Istana Lama. FOTO Sharul Hafiz Zam

“Semua jenis surat saya buat, daripada surat permohonan, surat pengesahan, surat perceraian malah segala jenis kertas kerja juga dilakukan.

“Justeru, pelanggan saya bukan saja daripada kategori warga emas, malah semua peringkat umur membabitkan ahli perniagaan dan sebagainya.

“Tempoh masa untuk menyiapkan satu surat itu bergantung pada jenis surat diperlukan, sekiranya kertas kerja, ia mengambil masa dua minggu, sekiranya surat biasa, hanya dalam tempoh beberapa minit,” katanya.

Menceritakan permulaan pembabitannya sebagai penulis surat, Othman berkata, dia bermula di kedai kopi di Jalan Tunku Ibrahim pada 1978.

“Kemudian saya berpindah ke Pekan Rabu pada 1990 sehingga 2014 sebelum berpindah ke sini sehingga sekarang.

“Dahulu kerja menulis lebih sukar kerana saya masih menggunakan mesin taip yang memerlukan kesabaran tinggi,” katanya.

Katanya, sekarang, tugasnya lebih mudah kerana menggunakan komputer yang mudah dibetulkan sekiranya ada kesilapan.

OTHMAN sedang membuat surat untuk pelanggannya dengan menggunakan komputer. FOTO Sharul Hafiz Zam
OTHMAN sedang membuat surat untuk pelanggannya dengan menggunakan komputer. FOTO Sharul Hafiz Zam

“Tambahan berkaitan kertas kerja, kadangkala ia perlu dibetulkan semula mengikut keperluan institusi masing-masing.

“Alhamdulillah, saya berasa puas apabila pelanggan memberitahu kertas kerja permohonan pinjaman mereka diluluskan pihak bank dan sebagainya,” katanya.

Mengenai kadar bayaran pula, Othman tidak meletakkan sebarang harga, ia bergantung pada keikhlasan pelanggan.

“Saya memang tidak letakkan harga, kadangkala saya tidak ambil sebarang bayaran terutama daripada mereka yang dilihat kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:45 AM