PROSES membawa pulang rakyat Malaysia memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain dan mereka perlu menjalani saringan untuk melihat kadar keterbabitan dalam kumpulan militan itu. FOTO hiasan
PROSES membawa pulang rakyat Malaysia memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain dan mereka perlu menjalani saringan untuk melihat kadar keterbabitan dalam kumpulan militan itu. FOTO hiasan
Oleh Muhammad Saufi Hassan


TAK rela besarkan anak dalam suasana perang yang menyukarkan, kira-kira 40 rakyat Malaysia, yang terbabit dalam kumpulan militan Daish di Syria dan Iraq menzahirkan hasrat pulang ke tanah air.

Bukan itu, mereka juga bersedia untuk berdepan apa saja bentuk hukuman selain sesi pemulihan yang disediakan.

Kesediaan mereka untuk pulang bertitik tolak selepas melihat ‘wajah’ sebenar kumpulan militan terbabit termasuk ada yang mengakui keadaan di negara itu tidak sesuai untuk pembesaran anak mereka.

Perkara itu didedahkan Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam yang melihat kesediaan rakyat tempatan itu berlaku selepas melihat sendiri identiti sebenar Daish.

Menurutnya, ada dalam kalangan 40 rakyat tempatan ini yang menyatakan kesediaan menerusi keluarga selepas mereka saling berhubung dan ada juga yang menghubungi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pit-chay memaklumkan usaha untuk membawa pulang rakyat tempatan itu bergantung kepada keputusan kerajaan.

Menurutnya, proses membawa pulang turut memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain dan mereka perlu menjalani saringan untuk melihat kadar keterbabitan dalam kumpulan militan itu.

Mendedahkan lanjut, Dr Mohd Mizan berkata, jumlah anggaran keseluruhan rakyat Malaysia yang masih berada di Iraq serta Syria adalah 59 orang dan sebahagian besar sudah menyatakan kesediaan untuk pulang ke tanah air.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ada dalam kalangan rakyat kita yang menyatakan kesediaan untuk pulang menerusi keluarga mereka tatkala berhubung bertanyakan khabar dan ada juga yang menghubungi kedutaan negara.

“Untuk membawa pulang rakyat tempatan ini memerlukan prosedur yang panjang memandangkan pihak berkuasa negara perlu bekerjasama dengan pihak lain untuk memastikan perjalanan pulang rakyat kita benar-benar selamat.

“Selain itu, kita juga perlu melakukan saringan personaliti untuk melihat tahap keterbabitan mereka. Adakah mereka ini aktif dalam kumpulan militan Daish, sekadar mengikuti pasangan mereka atau tidak terbabit secara langsung,” katanya, di sini.

Dr Mohd Mizan berkata, sejumlah besar rakyat tempatan ini sebenarnya hilang tempat bergantung dan melihat bahawa jalan terbaik adalah pulang ke tanah air.

Beliau berkata, mereka yang sedar tentang wajah sebenar kumpulan militan ini dipercayai daripada golongan yang tidak taasub, manakala individu yang fanatik dengan doktrin Daish tetap merasakan perjuangan kumpulan itu kekal relevan.

“Saya juga mencadangkan golongan yang sedia untuk pulang ini dijadikan rekrut panel pemulihan memandangkan mereka mempunyai pengalaman sebenar dan sudah mengetahui hakikat Daish itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 6:30 AM