Ahmad Muqry dan Nur Ain Balqis diiringi cikgu Ahmad Nasruddin Mansor menang emas dalam acara kreatif bertemakan Robot: Agricultural Revolution (Robot: Revolusi Pertanian). FOTO Facebook UniTech MRSM Bentong
BERNAMA

EMPAT pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengharumkan nama negara apabila merangkul dua pingat emas dalam pertandingan International Robot Olympiad (IRO) 2019 di Chiang Mai, Thailand pada 15 hingga 20 Dis lalu.

Menurut kenyataan Majlis Amanah Rakyat (Mara), hari ini, pelajar MRSM Bentong, Ahmad Muqry Hasni dan Nur Ain Balqis Mohd Razuan memenangi emas dalam acara kreatif bertemakan Robot: Agricultural Revolution (Robot: Revolusi Pertanian).

“Robot binaan mereka dinamakan Dr Plant dan dapat mengenal pasti pokok perosak serta menghapuskan pokok perosak tersebut dengan menggunakan semburan racun,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ziyad Azhar dan Hana Humaira Wan Hasnan daripada MRSM Kota Putra pula merangkul pingat emas bagi acara Robot in Movie (Robot Dalam Filem). Mereka menghasilkan video dengan sub tema Vital Monitoring (Pemantauan Penting) kepada tema utama.

Video tersebut memerlukan mereka merangka jalan cerita serta menggunakan robot dan peralatan serta menguji kepakaran peserta dalam proses suntingan dan kesan khas.

Menurut kenyataan itu lagi, Mara turut memenangi satu pingat perak, satu pingat gangsa dan satu anugerah teknikal.

Wakil Mara bersaing dengan pelajar daripada14 negara antaranya Korea Selatan, China, Singapura, Filipina, New Zealand, Mesir, Indonesia dan Thailand, dengan keseluruhan penyertaan pada pertandingan itu lebih 800 orang.

“Kontinjen Malaysia seramai 66 orang terdiri daripada 51 pelajar, 14 guru dan seorang pegawai merangkap ketua kontinjen daripada Bahagian Pendidikan Menengah.

“Mara komited dalam menyumbang kepada penghasilan modal insan dalam bidang robotik dan teknologi kepintaran buatan seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0),” menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 5:02 PM