Siti Nor Hidayatidayu Razali


SUAMI isteri meninggal dunia di Madinah, masing-masing pada Isnin lalu dan semalam selepas menunaikan umrah di Makkah.

Mereka yang diibaratkan sebagai pasangan merpati dua sejoli itu, Ismail Latif, 66, meninggal pada jam 11 pagi waktu tempatan Isnin lalu dan isterinya, Rohani Dollah, 60, menghembuskan nafas terakhir jam 2 petang semalam ketika bersiap untuk pulang ke tanah air.

Anak mereka, Nor Shuhada Ismail, 38, berkata, berita pemergian ibu bapa mereka itu disampaikan oleh sepupunya, Noranito Taib, 50, yang turut sama-sama menunaikan umrah.

Katanya, mereka sekeluarga terkejut dengan berita itu, namun reda dengan pemergian kedua-dua ibu bapa kerana meninggal selepas menunaikan umrah dan di tempat suci idaman umat Islam di seluruh dunia.

“Ayah dan mak sangat rapat kerana mereka sering bersama-sama pergi ke mana-mana sahaja termasuk di dapur rumah. Mungkin keakraban mereka itu menyebabkan arwah ma (emak) terlalu sedih sehingga darahnya naik dan meninggal dunia semalam.

“Sebelum itu, arwah ayah meninggal dunia Isnin lalu di hotel kerana demam selama lima hari. Ayah tiada sebarang penyakit dan sihat sebelum berangkat ke Makkah.

“Arwah mak hanya ada penyakit darah tinggi sahaja dan mungkin dia risau nak meninggalkan ayah jauh di Makkah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tunjung, Kota Bharu, hari ini.

ANAK arwah menunjukkan gambar ibu bapa mereka yang meninggal dunia di Madinah ketika menunaikan umrah di Makkah. FOTO Zaman Huri Isa
ANAK arwah menunjukkan gambar ibu bapa mereka yang meninggal dunia di Madinah ketika menunaikan umrah di Makkah. FOTO Zaman Huri Isa

Nor Shuhada yang juga anak ketiga daripada 10 beradik berkata, kedua-dua ibu bapanya itu gembira kerana dapat menunaikan umrah bersama-sama buat pertama kali.

Katanya, sebelum berangkat ke Makkah, ibunya berpesan kepada anak-anak supaya menjaga diri dan rumah dengan baik.

“Manakala setiap kali WhatsApp, ayah berpesan supaya kami 10 beradik duduk dengan baik sepanjang ketiadaan mereka dan menjaga rumah dengan elok. Rupanya itu amanat ayah yang terakhir buat kami.

“Mak juga sempat mengucapkan selamat tinggal kepada jemaah masjid seolah-olah dia tidak akan kembali selepas ini. Kami adik beradik sedih dengan kehilangan ibu bapa, tetapi kami gembira kerana mereka meninggal dunia di Makkah,” katanya.

Menurutnya, sepatutnya mereka menyambut kepulangan ayah dan ibunya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, namun yang pulang hanya barang-barang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 3:34 PM