Lelaki OKU yang menemani neneknya sejak tiga hari lalu sebelum warga emas itu disedari meninggal dunia di Pangsapuri Ladang Gemilang Satu, Kuala Terengganu hari ini. Foto Zaid Salim
Lelaki OKU yang menemani neneknya sejak tiga hari lalu sebelum warga emas itu disedari meninggal dunia di Pangsapuri Ladang Gemilang Satu, Kuala Terengganu hari ini. Foto Zaid Salim

LELAKI orang kurang upaya (OKU) tidak menyangka dia menemani mayat neneknya sejak tiga hari lalu kerana menyangkakan warga emas itu sedang tidur di kediamannya di Pangsapuri Ladang Gemilang Satu, Kuala Terengganu.

Dia yang berusia 49 tahun dipercayai mengalami masalah mental hanya menyedari nenek yang menjaganya sejak kecil meninggal dunia apabila diberitahu ibunya, Norhaizan Amran, 63, selepas ke rumah terbabit kira-kira 12 tengah hari hari ini.

Norhaizan berkata, dia mendapati anak lelakinya itu berada di sisi ibunya, Saodah Kong, 82, yang terbaring di ruang tamu sebaik tiba di kediaman berkenaan.

Wanita itu menyangkakan warga emas terbabit yang juga ibunya sedang tidur dan kemudiannya memanggil beberapa kali tetapi tidak berjawab.

Keadaan itu menyebabkan dia cemas dan curiga sesuatu berlaku terhadap ibunya dan segera merapati mangsa sebelum terkejut apabila mendapati wanita terbabit sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya bertemu mak kira-kira seminggu lalu dan jiran menyangkakan ibu pulang ke rumah anaknya yang lain di Bukit Payung, Marang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, mayat warga emas itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 9:09 PM