DR Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
DR Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Sarah Zulkifli


SHAH ALAM: Abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan mendapat tahu hasil laporan bedah siasat terhadap adiknya melalui Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Hasil laporan bedah siasat itu diterima Dr Abdul Aziz, 59, melalui aplikasi WhatsApp daripada Noor Hisham yang juga rakan keluarganya pada hari sama kejadian Nazrin ditemui maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, pada 14 Jun 2018.

Saksi pendakwaan ke-18 itu yang menerima WhatsApp memaklumkan perkara berkenaan kepada isteri Nazrin yang juga tertuduh pertama, Samirah Muzaffar melalui aplikasi sama.

“Saya memajukan pesanan diterima daripada Noor Hisham kepada Samirah berhubung hasil laporan bedah siasat Nazrin,” katanya ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes bunuh Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Berdasarkan salin perbualan melalui WhatsApp yang dibacakan Muhammad Shafee, isi kandungan yang dimajukan Dr Siew yang juga doktor bertanggungjawab melakukan bedah siasat Nazrin selepas selesai menjalankan tugas.

“Noor Hisham yang mendapat laporan daripada Dr Siew itu bertindak memajukan pesanan itu kepada kamu.

“Noor Hisham memaklumkan hasil bedah siasat mendapati letupan telefon bimbit menyebabkan kebakaran berlaku,” katanya.

Dalam perbualan itu, Dr Abdul Aziz sempat berpesan kepada Samirah supaya memandang serius tindakan mengecas telefon bimbit di atas meja berhampiran katil.

“Kamu katakan, ini berikutan perbuatan itu menyebabkan telefon bimbit terlalu rapat dengan wajah selain memaklumkan Samirah perkara itu perlu dihebahkan kepada awam.

“Selain itu, Samirah bertanya ‘adakah Nazrin dalam kesakitan? Kamu membalas tidak. Dia tidur lena/tidak sedar’ ,” katanya ketika membacakan isi kandungan WhatsApp terbabit di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di sini, semalam.

Terdahulu, Muhammad Shafee mengemukakan tiga dokumen iaitu salinan perbualan melalui WhatsApp antara Dr Abdul Azid dan Samirah serta rakan Nazrin, Shahrul Idzwan.

Dalam prosiding sama, Dr Abdul Aziz, memberitahu mahkamah dia hanya menyimpan nombor telefon Samirah pada hari kejadian itu.

Samirah, 44, yang juga isteri Nazrin dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun didakwa membunuh Nazrin.

Turut didakwa ialah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Perbicaraan bersambung Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 6:30 AM