Mahaizura Abd Malik dan Rosyahaida Abdullah


SEBAHAGIAN besar daripada 68 ahli pasukan Persatuan Bolasepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) ini dilahirkan normal, namun kehilangan kaki akibat kemalangan tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka.

Insan terpilih ini cekal melalui hari mendatang sebagai orang kurang upaya (OKU), malah kini bergiat aktif dalam arena bola sepak kudung menggunakan tongkat.

Lebih membanggakan, 14 orang daripada mereka yang diserap ke skuad negara kini sibuk mempersiapkan diri menyertai pelbagai kejohanan di bawah kendalian jurulatih hebat MV Salesh, 49, sebelum kelayakan ke Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Kudung, 2022.

Bagi Muhamad Haqimie Hasim, 28, kehilangan kaki kiri akibat kemalangan motosikal pada 2011 tidak melunturkan semangatnya untuk terus membabitkan diri dalam bola sepak biarpun kaedahnya berbeza menggunakan tongkat.

“Kaki dominan saya kanan, tapi saya ambil masa sedikit untuk menggunakan tongkat menggantikan kaki kiri yang hilang.

“Kali pertama saya bermain bola sepak tanpa kaki saya berlari di padang macam biasa, rasa macam terlupa saya sudah kudung,” katanya.

Berbeza pula dengan rakan pasukannya Muhammad Nor Aizzat Yunus, 19, yang mengambil masa lebih setahun untuk menguasai teknik bermain menggunakan kaki kiri berikutan kehilangan kaki dominan, kanan.

PEMAIN pasukan bola sepak orang kudung memanaskan badan sebelum memulakan latihan.
PEMAIN pasukan bola sepak orang kudung memanaskan badan sebelum memulakan latihan.

“Agak mencabar dan janggal kerana biasa menyepak bola guna kaki kanan, kini saya bergantung kepada kaki kiri untuk menyepak bola manakala tongkat untuk tampung badan sebelah kanan.

“Tetapi alhamdulillah berkat ilmu dicurahkan jurulatih dan latihan tidak jemu-jemu saya kini boleh menyesuaikan diri dengan keadaan saya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hafiq Hizwan Norizan, 22, yang kudung tangan kiri pula berperanan sebagai penjaga gol skuad itu.

“Peraturan bola sepak kudung mereka yang kehilangan tangan akan menjadi penjaga gol. Cabarannya bila nampak tongkat dan bola datang serentak saya jadi takut.

“Tetapi, apabila jurulatih ajar mengikut kesesuaian diri, akhirnya saya kini boleh menghadapinya,” katanya.

DUA pemain bola sepak orang kudung merebut bola ketika latihan.
DUA pemain bola sepak orang kudung merebut bola ketika latihan.

Sementara itu, Pengarah Projek Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, MAFA kini giat menjalankan kempen #ProjekTongkat mencari dana menganjurkan Kejohanan Piala Jemputan MAFA 2020 membabitkan perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia, Palestin, India serta Nepal, April depan.

“Projek ini adalah kejohanan pertama bola sepak kudung di Asia. Kita berharap kejohanan ini bukan saja dapat memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak kudung tetapi masyarakat OKU Malaysia dan dunia.

“Ia juga sebahagian daripada misi kita untuk menghantar penyertaan ke Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Kudung buat pertama kalinya,” katanya.

PEMAIN bola sepak orang kudung ketika sesi  latihan sebelum berentap dengan empat negara dalam kejohanan jemputan MAFA.
PEMAIN bola sepak orang kudung ketika sesi latihan sebelum berentap dengan empat negara dalam kejohanan jemputan MAFA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 6:40 AM