KEDIAMAN sembilan beranak tidak sempurna untuk didiami.
KEDIAMAN sembilan beranak tidak sempurna untuk didiami.
Adnan Ibrahim


TINDAKAN tukang rumah melarikan diri sebelum kerja pembinaan disiapkan menyebabkan sembilan beranak terpaksa hidup dan tidur berhimpit dalam satu bilik sejak setahun lalu.

Mangsa, Mohd Hanif Abdul Karim, 38, berkata, rumah keluarganya yang dibina pada pertengahan tahun 2017 itu sepatutnya disiapkan awal tahun 2018, namun terbengkalai.

“Tukang rumah menghilangkan diri walaupun semua kos pembinaan sudah dibayar.

“Disebabkan tiada pilihan, kami sekeluarga terpaksa menghuni rumah ini walaupun berhadapan risiko keselamatan, selain tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.

“Saya tidak mampu meneruskan pembinaan berikutan semua duit sudah habis diserahkan kepada tukang rumah,” katanya.

SHAFIK  (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada Mohd Hanif di kediamannya di Kampung Palembang Baru, Kluang.
SHAFIK (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada Mohd Hanif di kediamannya di Kampung Palembang Baru, Kluang.

“Apatah lagi dengan pekerjaan sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Kluang, sudah pasti pendapatan sekadar cukup untuk menampung keperluan harian keluarga walaupun isteri, Rosnaidah Mohamad, 34, turut berniaga makanan,” katanya selepas menerima kunjungan Kelab Anak Muda Kluang dan Ketua Armada Bersatu Kluang, Firdaus Yunus, semalam.

Hadir sama, Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Shafik Abdul Aziz dan anggota Kelab Anak Muda (YPC) yang membantu membersihkan keliling rumahnya kesan banjir baru-baru ini.

Mohd Hanif berkata, dia dan isteri menguruskan dua anaknya yang bersekolah di sekolah menengah serta empat lagi yang bersekolah di sekolah kebangsaan bermula minggu ini.

“Kami sekeluarga terpaksa mengikat perut dengan berjimat cermat bagi memastikan duit cukup untuk membayar yuran serta kelengkapan persekolahan.

“Mujur ada bantuan bulanan RM300 daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan ia dapat meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Firdaus Yunus berkata, kesempitan hidup keluarga ini dikesan selepas dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Seri Perdana ketika berlaku banjir.

Katanya, pihaknya akan menggerakkan usaha untuk membantu keluarga berkenaan supaya kediaman yang hanya separuh siap itu dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 6:15 AM