RAKAMAN gambar Mohd Rozi turun padang 'bertemu’ wakil penduduk memberitahu sesi persekolahan bermula. FOTO Ihsan Mohd Rozi
RAKAMAN gambar Mohd Rozi turun padang 'bertemu’ wakil penduduk memberitahu sesi persekolahan bermula. FOTO Ihsan Mohd Rozi
Redzuan Muharam


DEMI memastikan anak muridnya tidak ketinggalan hadir ke sekolah, dia sanggup menaiki motosikal lasak atau ‘scrambler’ melalui jalan tanah merah dan berlubang sejauh 20 kilometer (km) untuk bertemu dengan wakil penduduk di tiga kampung Orang Asli di Rompin, Pahang.

Menurut Mohd Rozi Bahari, 40, pertemuan itu diadakan bagi meminta pertolongan wakil penduduk bagi menyampaikan peringatan kepada murid di kampung terbabit untuk hadir ke sekolah pada hari ini, permulaan sesi persekolahan 2020.

Kisah itu mendapat perhatian warga pendidik selepas dikongsi seorang pengikut Facebook Mohd Rozi di kumpulan Kami Guru Malaysia.

Bercerita lanjut, Mohd Rozi berkata, inisiatif itu pertama kali dilakukan selepas 10 tahun berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang.

“Semalam, saya menaiki motosikal dari Pekan Muadzam Shah ke tiga kampung di daerah Rompin iaitu Ganoh, Kemomoi dan Batu Hitam yang mana perjalanannya mengambil masa selama 40 minit.

“Di Kampung Ganoh, saya bertemu sendiri dengan ketua penduduknya, Tok Batin Amir yang juga rakan lama saya ketika berkhidmat di Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Manakala, saya meminta bantuan penjaja yang dikenali di dua lagi kampung untuk menyampaikan pesanan kepada penduduk masing-masing,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

MOHD Rozi menaiki motosikal lasak bertemu dengan wakil penduduk di tiga kampung Orang Asli. FOTO Ihsan Mohd Rozi
MOHD Rozi menaiki motosikal lasak bertemu dengan wakil penduduk di tiga kampung Orang Asli. FOTO Ihsan Mohd Rozi

Mohd Rozi yang juga guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SK Bukit Ibam mengakui puas kerana dapat bertemu dengan wakil penduduk sekalipun menempuh perjalanan yang jauh dan berliku.

“Memang jauh, sebahagian jalan berlubang sebelum menemui laluan bertar tetapi saya puas kerana dapat turun padang bagi menyampaikan pesanan kepada wakil penduduk kampung terbabit.

“Sekurang-kurangnya, mereka rasa diingati walaupun tinggal di luar bandar dan memang niat saya untuk memberi kesedaran supaya hadir ke sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 8:54 PM