UKIRAN 1757 pada meriam.
UKIRAN 1757 pada meriam.
Zuhainy Zulkiffli


DUA laras lagi meriam lama ditemui ketika kerja menaik taraf tembok laut dilakukan di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah berhampiran Padang Kota, dekat sini.

Ia ditemui pada 9 dan 27 Disember lalu menjadikan keseluruhan meriam lama yang dijumpai di kawasan itu adalah enam laras.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, kedua-dua meriam itu berukuran panjang sehingga 3.6 meter dengan anggaran berat tiga tan setiap satu.

Katanya, asal usul meriam itu belum dapat dipastikan dan pihaknya akan menunggu proses pembersihan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM).

PETUGAS Jabatan Warisan Negara mengangkat meriam yang ditemui untuk dianalisis.
PETUGAS Jabatan Warisan Negara mengangkat meriam yang ditemui untuk dianalisis.

“Terdapat ukiran ‘1757’ pada meriam itu dan dianggarkan berusia ratusan tahun namun kita perlu menunggu kerja pembersihan selesai bagi mengetahui usia sebenar.

“Jika benar (seperti yang tertera pada meriam itu), ia bermaksud meriam ini tiba lebih awal ke Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light,” katanya pada sidang media di Georgetown, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Pengarah JWN, Mesran Mohd Yusop yang turut melawat tapak projek kerja pengukuhan dan menaik taraf tembok laut berkenaan.

Kerja berkenaan dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Georgetown Conservation and Development Corporation (GTCDC).

CHOW (kiri) menunjukkan lokasi penemuan dua laras meriam terbabit.
CHOW (kiri) menunjukkan lokasi penemuan dua laras meriam terbabit.

Ia berada dalam Zon Teras, Tapak Warisan Dunia Unesco Georgetown serta Zon Penampan bagi Tapak Warisan Kebangsaan Kota Cornwallis.

Sementara itu, Chow berkata, pihaknya tidak bercadang untuk mengorek keseluruhan Padang Kota bagi mencari artifak atau tinggalan lain.

Katanya, penemuan itu memberi kesan terhadap kepentingan sejarah dan warisan negara ini.

“Tetapi jika ditemui secara tidak sengaja seperti ini, kita anggap ia satu penemuan yang baik.

DUA meriam ditemui ketika kerja menaik taraf tembok laut di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah.
DUA meriam ditemui ketika kerja menaik taraf tembok laut di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah.

“Mungkin pihak berkenaan boleh menggunakan mesin canggih bagi mengesan kedudukan lain-lain artifak di sini,” katanya.

Terdahulu, meriam pertama dan kedua dijumpai pada 19 Februari 2018 kira-kira 51 meter dari pintu barat Kota Cornwallis manakala yang ketiga dan keempat di stor kota berkenaan pada 24 Disember tahun sama.

Semua kerja ekskavasi itu dijalankan sejak 2017 dan penemuan meriam serta relik lain dipercayai mampu memberi fahaman baru dan nilai tambah sejarah asal Kota Cornwallis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:02 AM