Mohd Izham Unnip Abdullah dan Suzianah jiffar dan Norasikin Daineh


CALON Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, 67, tekad memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Sambil menjelaskan ia tanggungjawab yang besar, Ketua Bahagian WARISAN Kimanis itu berkata, beliau mengharapkan sokongan semua peringkat untuk membawa keyakinan kepada rakyat bahawa WARISAN dan Pakatan Harapan (PH) bersatu.

“Saya juga melihat persaingan dalam PRK ini adalah satu persaingan untuk menjalankan proses demokrasi.

“Ini akan menjadi persaingan mesra, tidak ada ganas, tidak ada perlanggaran yang tidak diingini.

“Ini (PRK) akan menjadi ‘gentlemen's fight’, jadi biarlah rakyat menentukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon bagi PRK Kimanis di Dewan Datuk Sri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort, hari ini.

Karim yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN berkata, peluang kepada WARISAN dalam PRK itu adalah baik, namun bukan alasan untuk berada selesa.

“Kita akan terus bekerja dan tidak akan mengambil mudah,” katanya sambil menambah kempen akan bermula pada hari ini.

Mengenai pengaruh bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman yang menyokong BN, beliau berkata, sebagai ahli politik, semua bebas untuk memberi sokongan kepada sesiapa.

“Semua akan terjawab pada 18 Januari dan sesiapa boleh cakap apa saja, takutlah... tapi WARISAN tidak pernah takut kepada sesiapa.

“Saya tidak mahu dianggap terlebih yakin tapi saya tahu perasaan dan maklum balas daripada rakyat,” katanya sambil menambah pengundi muda turut diberi perhatian.

Pada PRK Parlimen Kimanis 18 Januari ini, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim yang mewakili WARISAN dengan Datuk Mohamad Alamin, 47, daripada BN.

Petugas SPR membuat persiapan menjelang PRK Parlimen Kimanis di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort. FOTO Edmund Samunting.
Petugas SPR membuat persiapan menjelang PRK Parlimen Kimanis di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir di Beaufort. FOTO Edmund Samunting.

Karim pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan selama beberapa penggal ketika bersama UMNO sebelum digugurkan pada PRU-13 apabila UMNO meletakkan Mohamad sebagai calon.

Bagaimanapun, pada PRU-14, Mohamad tewas kepada calon WARISAN, Dr Daud Yusof.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau akan meneruskan perjuangan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis bersama BN.

“Ini adalah (pertembungan) antara orang lama dengan orang baharu yang saya kenal cukup lama, pemimpin cukup lama dalam UMNO sebelum ini, beliau pernah menjadi ADUN selama 25 tahun dan ia cukup lama.

“Saya adalah orang baharu dan ibarat anak didik beliau tetapi beliau sudah beralih, tetapi kita tetap akan lawan. Kita akan lawan, saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis akan kekal bersama BN,” katanya.

Ketika diminta mengulas apa isu yang akan diketengahkan dalam PRK ini, Mohamad berkata, ramai sudah tahu apa isu semasa yang menjadi kebimbangan rakyat.

“Saya akan semak isu berkaitan tetapi isu semasa semua sudah tahu dan isu dia kerajaan, ketidakpuasan hati rakyat cukup jelas.

“Matlamat saya, saya akan membawa suara rakyat Kimanis, suara rakyat Sabah ke dewan Parlimen kerana banyak yang harus kita luahkan dan sampaikan kepada kerajaan, banyak perkara dan saya akan bawa suara rakyat sebaik mungkin selepas ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 2:39 PM
    Kabinet Malaysia 2020