KESEBELASAN utama Kelantan dalam saingan Liga Malaysia tahun lalu. FOTO Fathil Asri
KESEBELASAN utama Kelantan dalam saingan Liga Malaysia tahun lalu. FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar

AKIBAT perjanjian berat sebelah selain menjadi mangsa ‘taktik’ pemain import menyebabkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menanggung kerugian jutaan ringgit sejak 20 tahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan, keputusan yang tidak memihak kepada badan induk bola sepak negeri itu menyebabkan KAFA terpaksa menanggung bebanan hutang yang dilihat tiada kesudahan walaupun sudah beberapa kali menukar pucuk pimpinan.

Setiausaha Agungnya, Hussin Deraman berkata, kelonggaran dalam kontrak pemain import menyebabkan Kelantan sehingga kini berhutang untuk membayar tunggakan gaji kepada mereka.

Beliau berkata, ada antara pemain import yang hanya indah khabar dari rupa sekali gus membuatkan pasukan perlu menyingkirkan mereka apabila prestasi tidak mencapai tahap yang diinginkan.

“Namun, kita perlu membayar harga yang tinggi apabila setiap kes yang dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah pasti akan memihak kepada pemain.

“Situasi terbabit sudah berlanjutan sejak 22 tahun lalu dan KAFA perlu membayar setiap kerugian terbabit yang antaranya mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap pemain import.

“Sebelum ini (dua musim lalu) kita bagi KPI (Indeks Prestasi Utama), kalau tak jaringkan gol kita akan buat tindakan potong gaji. Tapi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) buang peraturan itu jadi kita tak boleh nak ‘tegur’ mereka apabila prestasi menurun dan apabila disingkirkan, persatuan perlu pula bayar pampasan tinggi,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan, beberapa kelonggaran dalam kontrak pemain import adalah penyumbang sebenar kerugian yang terpaksa dilalui sebahagian besar pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Jika sebelum ini dalam kontrak pemain diletakkan klausa penilaian prestasi kepada awang import, namun ia kemudian dimansuhkan pada musim lalu yang menyaksikan pemain asing mula ‘besar kepala’ dengan gagal memberikan aksi terbaik buat pasukan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, beliau kecewa dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL yang memansuhkan peraturan itu dalam kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:30 AM