Nor ‘Asyikin Mat Hayin

ISU pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular terus memuncak apabila Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menyerahkan memorandum menolak pembelajaran itu.

Penolakan itu seolah-oleh mencabar ‘ketuanan’ tulisan Jawi sebagai satu daripada tulisan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hak dan kedudukan tulisan Jawi sepatutnya dihormati dan bukan dijadikan bahan permainan politik pihak berkepentingan.

Ikuti wawancara Pakar Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia DR MUHAMMAD FATHI YUSOF bersama wartawan NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN, juruvideo HALIM SALLEH dan jurukamera SUPIAN AHMAD bagi mengupas isu ini.

DR Muhammad Fathi Yusof. FOTO Supian Ahmad

Apakah kedudukan dan hak tulisan Jawi dalam Perlembagaan Persekutuan?

Jawi adalah satu tulisan untuk bahasa Melayu. Dalam perlembagaan Perkara 152 menyebut bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara ini.

Bahasa kebangsaan bermaksud bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan rasmi yang perlu digunakan dalam urusan kerajaan serta kenyataan umum.

Terdapat dua tulisan dalam bahasa Melayu iaitu Jawi dan Rumi. Kedua-dua tulisan ini digunakan secara bersama.

Tulisan Jawi lebih awal digunakan untuk bahasa Melayu kerana ketika bahasa ini berkembang sebagai bahasa ilmu, tulisan pertama diperkenalkan ialah tulisan Jawi.

Tulisan ini berkembang seiring dengan perkembangan Islam.

Tulisan Jawi digunakan sebagai tulisan utama lebih 1,000 tahun lalu dan berubah kepada tulisan Rumi akibat pengaruh kedatangan penjajah.

Jika melihat sejarah negara kita, sebahagian besar perjanjian dibuat di antara kerajaan kesultanan di Tanah Melayu ini dan pihak British adalah dengan menggunakan tulisan Jawi.

Malah, dokumen pengisytiharan kemerdekaan turut ditulis dalam tulisan Jawi. Ini bermakna tulisan Jawi mempunyai asas lebih kukuh daripada sudut sejarah berbanding tulisan Rumi.

Saya berpendapat, adalah tidak tepat sekiranya ada pihak mengatakan tulisan Jawi sebagai tulisan sejarah semata-mata.

Kedudukan tulisan Jawi sangat tinggi dan berkait rapat dengan identiti dan jati diri negara.

Sebab itu, jika melihat dalam konteks lebih luas, negara mempunyai jati diri yang terangkum melalui beberapa peruntukan perlembagaan.

Antaranya ialah kedudukan bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara tiga dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Apabila semua ini dirangkumkan, kita dapat melihat kedudukan Jawi sebagai satu tulisan berada pada kedudukan tinggi.

Bagaimana tulisan Jawi serta khat boleh dilihat sebagai cubaan Islamisasi?

Isu ini diputuskan dalam kes saman Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai yang menamakan Menteri Pendidikan (sebelum ini) Dr Maszlee Malik, Timbalannya Teo Nie Ching dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Dalam kes ini, mahkamah memutuskan bahawa sebenarnya tidak benar dakwaan mengatakan tulisan Jawi sebagai tulisan yang boleh mempengaruhi murid-murid menganut agama Islam.

Perkara ini diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Amarjeet Singh pada 28 Disember lalu.

Pemimpin Gerakan berkenaan mendakwa pengajaran Jawi adalah satu ajaran agama dan tiada sesiapa pun boleh diminta menerima ajaran sesuatu agama dan mengambil bahagian dalam apa-apa upacara sembahyang sesuatu agama selain agamanya sendiri.

Mahkamah memutuskan bahawa perlembagaan tidak menghalang pembelajaran mana-mana bahasa yang hurufnya secara kebetulan juga adalah huruf kitab suci mana-mana agama.

Mahkamah turut mendapati tidak terdapat sedikit bukti pun yang menunjukkan pengajaran tulisan Jawi menyebabkan seseorang murid atau pelajar terpaksa menerima ajaran dalam sesuatu agama selain agamanya sendiri.

Sebenarnya tuduhan ini tidak timbul. Tulisan Jawi adalah bentuk tulisan yang sama dengan tulisan Arab.

Jika kita lihat tulisan itu dalam konteks bahasa Arab, ia digunakan sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Contoh, di Lubnan dan Mesir, ramai orang Kristian menggunakan tulisan Arab yang sama dengan tulisan Jawi.

Isu ini boleh cetus rasa tak selesa antara kaum jika gagal diurus dengan baik?

Sebenarnya isu ini tidak perlu timbul jika rakyat memahami konsep prinsip atau dasar negara.

Setiap negara mempunyai ‘akar’, sejarah dan prinsip. Malaysia dibina melalui satu proses yang panjang.

Sebelum merdeka, Tanah Melayu terdiri daripada negeri-negeri berdaulat yang diperintah melalui kaedah kesultanan dan kemudiannya mendapat pengaruh British dan sebagainya.

Selepas kemerdekaan, antara isu yang dibincangkan ialah bagaimana menubuhkan negara persekutuan.

Dalam proses kemerdekaan, ada beberapa isu timbul seperti aspek bahasa, bangsa dan agama.

Jika kita memahami aspek ‘akar’ maka tidak timbul aspek pertikaian kerana negara kita berakar umbi daripada Tanah Melayu.

Sebenarnya terdapat satu asas yang kukuh mengenai kedudukan orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu serta Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai ketua utama agama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Ia bukan sekadar simbol tetapi menggambarkan identiti dan jati diri negara.

Tulisan Jawi adalah identiti negara.

Masalah timbul apabila terdapat segelintir pihak cuba mempertikaikan perkara asas ini dengan situasi negara ketika ini yang agak memberi kelonggaran kepada beberapa perkara.

Tindakan Dong Zong dan Dong Jiao Zong dianggap keterlaluan apabila menganjurkan Kongres Organisasi Cina sebagai bantahan garis panduan berhubung pengajaran tulisan Jawi?

Tindakan Dong Zong dan Dong Jiao Zong mengadakan Kongres Organisasi Cina adalah perbuatan tak wajar.

Isu Jawi timbul pada pertengahan tahun lalu apabila kerajaan memutuskan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun empat.

Apabila ada bantahan, kerajaan mengambil sikap bertolak ansur dengan menetapkan syarat yang lebih longgar iaitu memberikan hak kepada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru serta murid untuk memilih sama ada mahu belajar atau tidak tulisan Jawi terutamanya di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Bertolak ansur adalah langkah mengalah yang sangat ketara kerana tulisan Jawi sebenarnya satu tulisan bahasa Kebangsaan.

Melalui tindakan kerajaan ini, sepatutnya isu ini terhenti tetapi malangnya Dong Zong dan Dong Jiao Zong menimbulkan semula isu itu.

Kelonggaran kerajaan tidak dihiraukan sebaliknya mereka terus membuat desakan.

Sekolah vernakular juga dilihat menolak pelaksanaan pembelajaran seni khat dan tulisan Jawi?

Sebenarnya kita tidak pernah membuat tinjauan di setiap sekolah. Kita ada beratus SJK dan saya tidak menganggap semua sekolah menolak.

Bahkan ketika isu ini timbul ada sekolah yang secara terbuka menyatakan persetujuan untuk mempelajari tulisan Jawi.

Ini bermakna ia bukan satu keputusan mutlak bagi setiap sekolah.

Ada murid Melayu yang turut bersekolah di sekolah vernakular. Adakah mereka akan turut terjejas jika berlaku perkara tidak diingini?

Tiada halangan kepada murid Melayu di sekolah vernakular yang ingin mempelajari tulisan Jawi.

Sebaliknya masalah ini timbul dalam kalangan segelintir pihak yang mempunyai kepentingan dan cuba menyuarakan perkara yang tidak memberikan manfaat kepada murid.

Saya tidak bersetuju dengan dakwaan mengatakan tulisan Jawi boleh merencatkan pembangunan minda murid.

Sedangkan mempelajari pelbagai tulisan dapat menambahkan ilmu dan memahami kesenian bangsa lain.

Saya percaya majoriti ibu bapa dan murid tidak memahami isu yang berlaku, bahkan tidak memahami apa itu tulisan Jawi.

Isu ini perlu diredakan dan ditangani dengan bijak. Bagaimana mahu melakukannya?

Perkara penting yang perlu dilakukan ialah menerusi rundingan dan penjelasan.

Ini kerana, punca penolakan keputusan pembelajaran tulisan Jawi disebabkan kejahilan dan persepsi.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab membawa pihak yang memberikan pandangan berbeza ini ke meja rundingan dan berdialog untuk mencari penyelesaian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 7:00 AM